Kanak-kanak perempuan hilang: Polis tahan 2 lelaki, 1 wanita

Kumar. Laporan Sinar Harian
Kumar. Laporan Sinar Harian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan yang hilang di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Ketua Polis Johor Komisioner, M Kumar berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan yang berusia 28 hingga 55 tahun ditahan di Gelang Patah, Iskandar Puteri, dekat sini pada jam 1.30 tengah hari Isnin.

Bagaimanapun katanya, setakat ini kanak-kanak perempuan tersebut masih belum ditemui.

"Ketiga-tiganya akan direman esok. Siasatan dijalankan bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.

"Jika sabit kesalahan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda," katanya dalam satu kenyataan pada malam Isnin.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Tambahnya, sebarang maklumat mengenai kejadian boleh disalurkan menerusi talian hotline polis Johor 019-2792095 atau bilik gerakan 07-2212999.

Kanak-kanak perempuan tersebut, disedari hilang oleh bapanya kira-kira jam 8.30 malam di lokasi kejadian terbabit.

Artikel Berkaitan:

Kanak-kanak itu kali terakhir dilihat berpakaian baju T berwarna putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ di bahagian dada dan berseluar pendek.

Sejak Jumaat pusat beli-belah itu mengadakan festival Bon Odori Johor yang menyaksikan kawasan berkenaan sesak dengan kehadiran pengunjung.

Terdahulu, tular dalam media sosial orang awam mengesan kanak-kanak itu di Bangunan Sultan Ismail (BSI) bersama-sama seorang lelaki yang didakwa sedang dalam perjalanan ke Singapura.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!