Mampukah rakyat Malaysia 'berperang' kurangkan gula

No Image Caption
A
A
A

KEMPEN ‘Kurang Gula, Kurang Harga’ yang akan dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak lama lagi sememangnya satu inisiatif sangat menarik.

Apatah lagi, selepas Naib Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Abdul Mukthahir M Ibrahim juga menyatakan sokongan menjayakan kempen tersebut dengan mengesahkan 3,500 rangkaian restoran di bawah Presma seluruh negara bersetuju menurunkan harga sebanyak 10 sen untuk minuman teh O dan kopi O tanpa gula.

Kempen tersebut, antara lain bagi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan amalan pemakanan sihat melalui pengurangan pengambilan gula dalam diet harian, di samping membantu mengurangkan kos rawatan dan perubatan susulan penyakit yang berpunca daripada tabiat pemakanan tidak sihat serta tidak seimbang terutama kandungan gula berlebihan.

Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendapati satu daripada enam orang dewasa atau 15.6 peratus daripada populasi orang dewasa di negara ini didiagnoskan sebagai penghidap penyakit diabetes.

Malah, lebih membimbangkan Malaysia paling tinggi mempunyai penghidap kencing manis atau diabetes di Asia.

Persoalannya, mampukah objektif kempen ‘Kurang Gula, Kurang Harga’ benar-benar tercapai dan mencapai sasaran?

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga giat melancarkan kempen demi kempen ‘berperang dengan gula’ bagi mendidik rakyat mengurangkan pengambilan gula.

Hakikatnya, keberkesanan kempen seumpama ini sangat bergantung kepada sejauh mana rakyat Malaysia ‘berjiwa kental’ mahu mengurangkan ‘kemanisan’ dalam setiap pengambilan minuman atau makanan.

Artikel Berkaitan:

Apatah lagi, penggunaan gula di negara ini seolah-olah sudah menjadi satu kemestian.

Justeru, semua kementerian dan agensi kerajaan perlu sama-sama memainkan peranan melaksanakan serta menjayakan kempen kurangkan gula.

Janganlah hanya menyerahkan bulat-bulat peranan tersebut kepada KKM atau KPDN semata-mata.

Namun, paling penting adalah keazaman rakyat Malaysia.

Marilah kita selangkah lebih sihat dengan mengurangkan pengambilan gula secara beransur-ansur dan hadkan juga minuman-minuman yang manis.

Rajin-rajinlah baca label terutama kandungan gula dalam setiap barangan yang dibeli.

Sentiasa ingat – kurangkan manis dalam minuman dan makan, lebihkan manis dalam senyuman.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!