Budak-budak sekarang merajuk sikit lari dari rumah
REMAJA lari dari rumah sebab merajuk tak nak ke sekolah, merajuk dengan emak, merajuk kena tegur dan paling terkini, sebab merajuk tak boleh tukar kursus pengajian. Pelik!
Alasan remeh temeh tapi bila dah hilang, siapa yang susah? Pastilah ibu bapa dan ahli keluarga paling risau.
Bila buat laporan, tugas polis pula untuk menyiasat dan mencari.
Bila keluar di media massa, satu Malaysia kecoh dan mereka turut sama bimbang.
Maklumlah sejak kebelakangan ini kes orang hilang menjadi-jadi.
Kalau hilang dan ditemui dalam keadaan selamat, syukur alhamdulillah tetapi jika sebaliknya, hilang terus atau hanya jasad sahaja ditemui, bayangkan betapa hancur luluhnya perasaan insan-insan tersayang.
Merak Jalanan faham usia remaja sememangnya peringkat yang mencabar dan paling ‘dramatik’, banyak dipengaruhi emosi dan tidak matang.
Inilah fasa usia nak melawan, fasa memberontak, fasa ikut rasa dan darah muda, malah fasa luar jangka.
Bila mak ayah tegur, mereka anggap orang tua tak faham perasaan mereka.
Ibu bapa larang sebab mereka dah lalui zaman ‘memberontak’.
Jadi, segala keburukan, bahaya, risiko bakal melanda, mereka dah nampak dan sebab itu mereka tegah awal-awal.
Jadi kepada adik-adik sekalian, ingat pesan Merak Jalanan.
Lari dari rumah bukan jalan penyelesaian.
Cuba-cubalah bawa berbincang, bertenang dan fikir baik buruk segala tindakan yang diambil.
Merak Jalanan dulu pernah juga rasa nak merajuk bawa diri tapi tak jadi sebab takut kalau malam nak tidur di mana, kalau lapar nak makan apa.
Maklumlah duit belanja pun harap ihsan mak ayah.
Paling Merak Jalanan takut, lepas merajuk dan balik ke rumah agaknya mungkin kena libas dengan getah paip.
Tapi sekarang dah lain. Yang merajuk pula ditatang bagai minyak yang penuh.
Dipujuk agar tak merajuk lagi di lain kali. Begitulah anak-anak zaman sekarang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!