PRK Nenggiri: Calon atau parti jadi pilihan?

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, Kelantan pada 17 Ogos ini sekali lagi menjadi tumpuan, sama ada calon atau parti yang menjadi pilihan pengundi di kawasan tersebut.

Mengambil kira keputusan PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang bulan lalu menyaksikan parti menjadi pilihan berbanding calon.

Perikatan Nasional (PN) mempertahankan kerusi berkenaan, menewaskan Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti tiga kali ganda kepada 4,267 undi.

Ketika itu PH menampilkan calon boleh menang, Dr Joohari Ariffin yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD), lebih baik berbanding Abidin Ismail (PN).

Namun, rakyat tetap ‘berselera’ memilih parti berbanding calon.

Situasi mungkin berlainan di Nenggiri. Andaian itu ada asasnya apabila Barisan Nasional (BN) menampilkan orang muda sebagai calon iaitu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Beliau bukanlah orang asing, malah cukup dikenali dalam kalangan penduduk setempat kerana acap kali turun padang ke Nenggiri – dengan tiketnya sebagai Ketua Pemuda UMNO Gua Musang.

Keputusan BN menamakan Mohd Azmawi dilihat menghadirkan sedikit kegusaran buat PN, apatah lagi ketika mereka masih tercari-cari calon yang boleh dibawa masuk ke gelanggang PRK Nenggiri.

Artikel Berkaitan:

Kerusi DUN Nenggiri merupakan status quo buat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tindakan bekas wakil rakyatnya sebelum ini, Mohd Azizi Abu Naim yang dilucutkan hak sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan memberikan kesan kepada PN.

Bagaimanapun, Bersatu mampu menarik nafas lega apabila Pas sebagai rakan sekutu dalam PN sekali lagi membenarkan simbol keramat mereka, bulan digunakan pada PRK Nenggiri.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15), PN berjaya merampas DUN Nenggiri – kerusi tradisi BN apabila Mohd Azizi menang 810 undi, menewaskan penyandangnya, Ab Aziz Yusof.

Mohd Azizi mendapat undian sebanyak 6,517 berbanding Ab Aziz (5,707), dengan 12,224 undi sah diterima, 120 ditolak dan tujuh tidak dikembalikan.

Jumlah keluar mengundi pada PRU15 lalu seramai 12,351 orang daripada 20,219 pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

DUN Nenggiri mula dipertandingkan pada 2004 (PRU11) telah dimenangi oleh BN dan menjadi kubu kuat parti itu apabila ia kekal milik BN sehinggalah PRU14 bermula dengan wakil rakyat, Mat Yusoff Abdul Ghani (2004-2017) dan Ab Aziz Yusof (2018-2023).

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim menyifatkan kekalahan di Nenggiri buat pertama kali itu hanyalah kekalahan tipis.

Kawasan DUN Nenggiri mempunyai 20 pusat daerah mengundi, antaranya lima melibatkan Orang Asli iaitu di Tohoi, Sungai Puian, Sungai Jenera, Sungai Wias dan Pos Simpor, dan pihaknya menumpukan kebajikan lebih 20,000 pengundi termasuk 2,500 yang terdiri daripada komuniti Orang Asli. Sudah tentu mereka mahukan pembangunan seperti jalan raya, internet dan bekalan air bersih untuk meneruskan kehidupan lebih baik.

Di Kelantan, jika mengikut tradisi pilihan raya, pengundi lebih memilih parti berbanding melihat calon yang bertanding kerana negeri itu milik Pas sejak 1990.

Selama 34 tahun ini, hanya beberapa kawasan DUN dan Parlimen yang berjaya ditawan oleh BN, sementara selebihnya milik Pas.

Justeru, PRK Nenggiri menjadi kayu ukur. Jika dilihat pada PRU15, satu demi satu pemimpin popular BN ‘tumbang’ walaupun dilihat ‘perform’ dan menjaga kebajikan rakyat serta menyumbang kepada pembangunan DUN dan Parlimen diwakili.

Ia menunjukkan rakyat lebih memilih parti berbanding calon dan ia juga dilihat mungkin akan berlaku di Nenggiri sekali lagi walaupun wakil rakyat sebelum ini daripada Bersatu, tetapi berpaling tadah dengan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, PN masih dilihat berani meletakkan calon daripada parti itu pada PRK Neggiri.

Adakah PN yakin rakyat di kawasan berkenaan akan terus memangkah logo bulan tanpa melihat siapa calonnya, hanya akan diketahui 17 Ogos ini.

* Hazelen Liana Kamarudin ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!