192 rakyat Malaysia di Bangladesh dibawa pulang
KEBIMBANGAN rakyat Malaysia tentang keselamatan 192 rakyat Malaysia termasuk 124 pelajar di Bangladesh berikutan ketegangan rusuhan yang semakin memuncak di negara itu berakhir.
Ia susulan apabila kerajaan bersetuju membawa mereka pulang ke negara ini pada Selasa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan semua mereka dibawa pulang dengan menaiki pesawat AirAsia A330 yang dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Dhaka.
Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelamatkan rakyat negara ini sudah pasti melegakan semua pihak terutamanya ibu bapa kepada pelajar berkenaan.
Demonstrasi yang tercetus sejak 1 Julai itu menyaksikan sekurang-kurangnya 133 orang terbunuh dalam protes membantah pengenalan semula sistem kuota perkhidmatan awam.
Mahkamah Agung Bangladesh pada Ahad memutuskan bahawa 93 peratus daripada semua pelantikan penjawat awam akan dibuat berdasarkan merit berkuat kuasa serta-merta.
Ia menjadikan lima peratus diperuntukkan kepada keturunan veteran perang kemerdekaan 1971 dan dua peratus kepada orang daripada kaum minoriti atau kurang upaya.
Semua premis di seluruh Bangladesh dikenakan perintah berkurung sejak Sabtu lalu, ditutup sementara susulan evakuasi itu termasuklah Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di sana.
Alhamdulillah, orang ramai turut memuji tindakan pantas kerajaan yang mengutamakan keselamatan rakyat.
Semoga dipermudahkan segala urusan proses membawa pulang mereka yang terlibat. Ayuh kita doakan rusuhan berkenaan juga segera berakhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!