'Kalau turun 10 sen, orang tak kisah'

Laporan eksklusif Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: ROSLI
Laporan eksklusif Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: ROSLI
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia mencadangkan supaya kadar harga bagi minuman kurang manis diturunkan lebih daripada 10 sen bagi menggalakkan orang ramai menyokong kempen Kurang Gula, Kurang Harga yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihaknya menyokong pendekatan yang dilakukan oleh Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) memandangkan langkah tersebut dapat memberi kesan positif terhadap diet rakyat di negara ini.

Ujarnya, saranan mengurangkan harga tersebut juga perlu dilaksanakan untuk semua jenis minuman selain teh dan kopi.

“Kita kalau hendak buat kempen ini, kena buat kempen biar rakyat merasai impaknya. Kalau turun 10 sen, orang tak kisah. “Turunkanlah harga contohnya 20 sen atau 30 sen, barulah kita nampak ada penambahbaikannya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Sabtu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, kempen Kurang Gula, Kurang Harga akan diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan amalan pemakanan sihat melalui pengurangan pengambilan gula dalam diet harian.

Fuziah berkata, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama persatuan restoran dan wakil industri bagi merangka kempen tersebut.

Antara yang terlibat dalam sesi libat urus itu adalah Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas), Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA) dan Presma.

Pada Isnin, Naib Presiden Presma, Abdul Mukthahir M Ibrahim berkata, sebanyak 3,500 rangkaian restoran di bawah Presma seluruh negara bersetuju menurunkan harga sebanyak 10 sen untuk minuman teh O dan kopi O tanpa gula selaras dengan kempen tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ulasnya, tawaran harga tersebut akan dilaksanakan serentak apabila kempen itu dijangka bermula dua minggu lagi.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, inisiatif mengurangkan harga minuman tanpa gula wajar disambut baik oleh semua pihak memandangkan ramai mengamalkan pemakanan tidak sihat tanpa memikirkan kesannya kepada kesihatan mereka.

“Saya pun kalau boleh tidak mahu rakyat ambil gula (dalam pemakanan) kerana gula ini punca penyakit.

“Saya minta supaya semua pengusaha restoran dan kedai makan jangan ambil kesempatan kerana apabila kita buat kempen Kurang Gula, Kurang Harga, mereka kurangkan 10 sen.

“Sepatutnya boleh kurangkan lagi,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!