Bangunan Mydin Manjoi: 'Jika perlu roboh, lakukan segera'
IPOH - Tindakan segera termasuk meroboh bangunan Pasar Raya Besar Mydin Manjoi di sini perlu dilakukan terhadap bagi mengelak insiden runtuhan dinding pada Isnin berulang.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri berkata, insiden yang mengakibatkan dua remaja cedera itu membuktikan struktur bangunan berkenaan yang terbakar Mac lalu, adalah berisiko dan tidak selamat.
"Perkara ini melibatkan isu keselamatan dan nyawa masyarakat di Gugusan Manjoi. Kita tidak mahu perkara tidak diingini dan lebih buruk berlaku.
"Sekiranya bangunan itu tidak selamat dan perlu dirobohkan, maka kita mohon pengurusan Mydin serta pihak berkaitan lakukan dan selesaikan segera," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Mohd Hafez turut menasihati orang ramai terutama penduduk berhampiran agar mengelakkan diri dari berada di kawasan sekeliling selagi mana bangunan terbabit tidak selamat.
"Saya telah majukan masalah ini kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya.
"Buat masa sekarang, kita minta penduduk berhati-hati kerana dalam keadaan bangunan seperti itu, bila-bila masa sahaja sebarang kemungkinan boleh berlaku," katanya.
Dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang itu, dua remaja lelaki berusia 13 dan 14 tahun cedera akibat terkena serpihan batu dinding Pasar Raya Besar Mydin Manjoi yang runtuh.
Bangunan berkenaan yang ditutup kepada orang awam selepas mengalami kebakaran, 10 Mac lalu dipercayai sedang dalam proses kerja-kerja meroboh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!