92 peratus graduan TVET ditawar kerja

Abdul Rahman (tengah) menyantuni penuntut yang terlibat sempena kembara itu di KVSHAS Lipis pada Isnin.
Abdul Rahman (tengah) menyantuni penuntut yang terlibat sempena kembara itu di KVSHAS Lipis pada Isnin.
A
A
A

LIPIS - Sebanyak 92 peratus graduan menceburi bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berjaya mendapat pekerjaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pencapaian cemerlang itu membuktikan kebolehpasaran penuntut TVET di negara ini.

Menurutnya, jumlah tersebut melibatkan kemasukan penuntut ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC).

"Seramai 92 peratus mendapat pekerjaan setelah tamat belajar, manakala baki lapan peratus tiada data diperoleh.

"Daripada jumlah itu, 82 peratus bekerja dalam bidang yang mereka pelajari. Sebagai contoh jika penuntut belajar dalam bidang IT (teknologi maklumat) maka dia bekerja pun dalam bidang IT.

"Sekarang di ILP kami berusaha menambah bidang yang dinamakan premium yang bermaksud lebih 'hi-tech' seperti kalau di Pengerang (Johor) ada oil and gas (industri minyak dan gas), manakala di Melaka kita ada bidang automotif selain kita turut bekerjasama dengan Intel," katanya.

Abdul Rahman (tengah) melihat peralatan yang dipamerkan sempena kembara tersebut di KVSHAS Lipis pada Isnin.
Abdul Rahman (tengah) melihat peralatan yang dipamerkan sempena kembara tersebut di KVSHAS Lipis pada Isnin.

Beliau ditemui sempena Kembara Jelajah TVET Madani 2024 di Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah (KVSHAS) Lipis di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis turut berharap agar ILP dan ADTEC mendapat penjenamaan semula sebagai kolej universiti supaya ia kekal relevan dengan tuntutan semasa pasaran kerja.

"Maksudnya sekarang ILP dikenali sebagai Institut Latihan Perindustrian, kalau dapat kita jadikan ia sebagai Kolej Universiti Institut Latihan Perindustrian bererti kita dapat penjenamaan.

"Namun begitu kita tidak pasti ia di bawah AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) atau Akta Pendidikan dan kita juga tidak pasti perkara tersebut boleh dilakukan atau tidak," katanya.

Jelasnya, jika penjenamaan semula itu dapat dilakukan, sebanyak 32 lagi institusi terlibat sekali gus boleh menarik minat lebih ramai anak-anak muda terlibat dalam bidang tertentu.

Dalam pada itu, beliau berkata, permohonan kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke dalam bidang TVET dilihat meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ujar Abdul Rahman, peningkatan tersebut adalah hasil daripada promosi berterusan yang dilakukan oleh kerajaan selain melihat peluang lebih tinggi dalam bidang TVET.

"Selain itu, penglibatan pelajar dari pelbagai kaum seperti Cina, India, Kadazan, Bidayuh dan lain-lain ke dalam bidang TVET juga dilihat memberangsangkan mencecah 25 peratus," tambahnya.

Program Kembara Jelajah TVET Madani 2024 disertai 150 penunggang motosikal melibatkan lapan lokasi utama agensi TVET di negara ini.

Ia termasuk Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Shah Alam, GiatMARA Raub, KVSHAS Lipis, Adtec Jerantut, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Kuantan, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik dan ILP Kuala Terengganu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!