[VIDEO] Mohd Nizar nafi jumpa pemimpin pembangkang jatuhkan kerajaan negeri

A
A
A

PEKAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Mohd Nizar Najib menafikan telah berjumpa dengan pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

Dalam hantaran Facebook miliknya, beliau yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi dan Alam Sekitar Pahang itu menegaskan pertemuan dongeng terbabit tidak pernah berlaku.

"Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya desas-desus yang menyatakan saya telah berjumpa dengan pemimpin-pemimpin pembangkang untuk jatuhkan kerajaan negeri Pahang.

"Ayahanda Datuk Seri Najib selalu berpesan walau bagaimana susah pun keadaan kita, agar setia kepada parti. Mana mungkin saya akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarga saya perjuangkan bersama-sama orang UMNO yang lain sejak ia ditubuhkan.

"Mana mungkin saya akan membelot untuk khianati kerajaan Pahang yang diterajui oleh YAB Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, seorang pemimpin yang saya amat kasihi dan hormati," katanya.

Tangkap layar FB Nizar Najib NN11. Mohd Nizar Najib (kiri).
Tangkap layar FB Nizar Najib NN11. Mohd Nizar Najib (kiri).

Jelas beliau, Wan Rosdy juga telah banyak membantu pengundi di kawasan Peramu Jaya Pekan dan menyifatkan Menteri Besar itu seorang pemimpin yang baik hati dan mudah didekati.

Tambahnya, kedudukan beliau sebagai seorang Exco dan ADUN juga menyebabkan dirinya tidak tergamak untuk mengkhianati Wan Rosdy sebagai seorang pemimpin dan kepercayaan yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Nizar turut menegaskan beliau bukan seorang katak politik yang sanggup gadaikan prinsip dan maruah serta ‘menjualkan’ diri kepada mana-mana pembida yang tinggi.

"Oleh itu cukup-cukuplah sebarkan fitnah untuk keuntungan politik murahan. Nabi Muhammad SAW mengecam perbuatan fitnah ini sekeras-kerasnya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:

"Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba). Hadis Riwayat al-Bukhari.

"Mesejnya jelas. Saya kekal setia bersama UMNO Barisan Nasional dan kerajaan Pahang yang ada sekarang," tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!