‘Hadiahkan kejayaan buat ibu’

Nurul Aziyana menghadiahkan kejayaan keputusan 9A SPM 2023 buat ibunya Norizan yang menjadi tulang belakangnya setelah kematian bapa.
Nurul Aziyana menghadiahkan kejayaan keputusan 9A SPM 2023 buat ibunya Norizan yang menjadi tulang belakangnya setelah kematian bapa.
A
A
A

SHAH ALAM – Pelajar terbaik dengan keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sepuluh, Manjung, Perak, Nurul Aziyana Darus Anuwar menghadiahkan kejayaan dicapai kepada ibunya, Norizan Omar yang menyokongnya selepas kehilangan bapanya pada tahun lalu akibat barah pangkal hidung.

Norizan yang berkongsi kegembiraan tersebut berharap kejayaan tersebut menjadi pemangkin untuk Aziyana terus cemerlang pada masa hadapan.

Kedua-dua mereka merupakan antara yang diraikan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Institut Pendidikan Berterusan & Pengajian Profesional (iCEPS), Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Seramai 95 pelajar program empowerNCER Akademik 2023 diraikan bersama keluarga mereka dalam dua Majlis Apresiasi Pelajar EmpowerNCER Akademik 2023 dilaksanakan secara berasingan iaitu di Pulau Pinang pada 11 Julai dan di Taiping, Perak pada 13 Julai lalu.

Majlis berkenaan bukan sahaja mengiktiraf kejayaan pelajar, tetapi juga bertujuan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

Melalui sokongan berterusan daripada pihak sekolah, agensi kerajaan dan organisasi seperti NCIA, masa depan pendidikan di Malaysia dijangka akan terus berkembang dan maju.

Program empowerNCER Akademik merupakan inisiatif yang menyediakan sokongan akademik dan pembangunan sahsiah diri kepada pelajar daripada keluarga dalam kategori B40.

Hasilnya, keputusan SPM 2023 pelajar menunjukkan peningkatan ketara, dengan ramai pelajar berjaya memperoleh gred ‘A’ dalam pelbagai subjek serta peningkatan keyakinan diri dan kemahiran interpersonal.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!