Pengarah syarikat diserang guna kapak, disamun di lampu isyarat

Tangkap layar rakaman video tular memaparkan tindakan sekumpulan suspek menyamun mangsa di persimpangan lampu isyarat di Seksyen 33, Shah Alam pada Isnin.
Tangkap layar rakaman video tular memaparkan tindakan sekumpulan suspek menyamun mangsa di persimpangan lampu isyarat di Seksyen 33, Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengarah syarikat barang lusuh berdepan detik cemas selepas disamun sekumpulan lelaki bersenjata di lampu isyarat berhampiran sebuah sekolah di Seksyen 33, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, satu laporan telah dibuat mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 54 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada jam 2.41 petang.

Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Kembara sedang berhenti di lampu isyarat sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal.

Mohd Iqbal
Mohd Iqbal

"Kejadian ini juga telah tular di media sosial menerusi rakaman kamera papan pemuka kenderaan kereta pengguna jalan raya lain.

"Menerusi rakaman itu, dua suspek yang memakai topi keledar berhenti di sebelah kiri kereta mangsa diikuti sebuah kereta jenis Perodua Alza yang berada di belakang bertindak menghalang laluan dengan memintas kereta mangsa.

"Supek yang membonceng motosikal telah pergi ke arah mangsa lalu memecahkan cermin sebelah pemandu menggunakan sebilah kapak dan mencabut kunci kereta bagi menghalang mangsa melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, seorang lagi rakan suspek yang menaiki Perodua Alza telah membuka pintu penumpang hadapan kereta mangsa sebelum melarikan beg yang mengandungi wang tunai RM200,000.

Artikel Berkaitan:

Katanya, wang tunai milik syarikat mangsa itu dipercayai baru dikeluarkan dari sebuah bank berdekatan.

"Mangsa bagaimanapun tidak alami kecederaan dan semakan polis mendapati nombor pendaftaran Perodua Alza yang digunakan suspek adalah palsu," ujarnya.

Tegasnya, usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan kesemua suspek bagi siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nor Idayu Abdul Aziz di talian 019-9459062," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!