Kon Yeow nafi ada pertukaran jawatan TKM II
Menurutnya, perkara itu tidak pernah dibincangkan sebelum ini sebaliknya Jagdeep kini sedang bercuti bagi menjalani pemeriksaan dan berkemungkinan memerlukan prosedur pembedahan pada kaki kiri.
"Jagdeep berjumpa dengan saya pada 19 Julai lalu bagi mengemukakan surat permohonan cuti untuk kelulusan saya.
"Sebagaimana penjelasan beliau, tujuan permohonan cuti yang dimohon adalah untuk membolehkannya menjalani pemeriksaan dan berkemungkinan memerlukan prosedur pembedahan pada kaki kirinya yang memperuntukkan kepakaran serta pemeriksaan lanjut daripada pakar perubatan pada kadar secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kon Yeow berkata, setelah mempertimbangkan penjelasan serta tujuan permohonan cuti yang dikemukakan, beliau telah memberi kelulusan cuti selama 11 hari bekerja bermula 22 Julai sehingga 5 Ogos kepada Jagdeep.
Jelasnya, Jagdeep juga sudah mula menerima rawatan yang diperlukan pada Isnin.
"Spekulasi bahawa akan berlakunya pertukaran jawatan yang disandang beliau kini, ia tidak pernah dibincangkan sebelum ini.
"Saya dan juga seluruh jentera barisan kepimpinan kerajaan negeri mendoakan supaya Jagdeep cepat sembuh dan kembali bersama-sama meneruskan agenda pembangunan negeri Pulau Pinang demi kepentingan seluruh rakyat Pulau Pinang," katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan seorang Exco Pulau Pinang dinasihatkan untuk bercuti atas dasar masalah peribadinya telah memberi kesan kepada prestasi kerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!