1,000 kios jual produk BMF bakal dibuka di masjid

Syed Mohammad Faiz
Syed Mohammad Faiz
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 1,000 kios yang memasarkan produk Muslim bertemakan kempen Beli Produk Muslim (BMF) bakal dibuka di masjid terpilih seluruh negara tidak lama lagi.

Presiden Majlis Pemikir Melayu Muda Kebangsaan (MPMMK), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, proses penyediaan prasarana kios BMF itu berjalan lancar, namun masih menunggu kelulusan daripada pihak kerajaan bagi penetapan prosedur operasi standard (SOP) sebelum pelaksanaannya.

Menurutnya, kios yang diwujudkan di masjid akan dikenakan sewaan pada kadar berpatutan kepada peniaga yang berminat.

"Kita sarankan produk yang disediakan oleh peniaga adalah barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung termasuk lain-lain produk kesihatan, kecantikan serta aksesori bagi lelaki dan wanita.

"Projek ini fokus kepada peniaga yang tidak diberi ruang oleh pasar raya untuk memasarkan produk mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Mohammad Faiz berkata, pembukaan 1,000 kios BMF di masjid merupakan usaha MPMMK memberi peluang dan membela nasib usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam kalangan orang Islam.

Jelasnya, ini sekali gus membuka peluang kepada PKS untuk menempatkan barangan keluaran mereka selain diharapkan dapat membantu dalam aspek jihad ekonomi Islam.

Syed Mohammad Faiz berkata, masjid perlu menjadi platform peningkatan ekonomi masyarakat setempat seterusnya membantu meningkatkan penguasaan orang Islam dalam bidang tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Masjid adalah platform terbaik kerana setiap hari orang Islam solat berjemaah, setiap minggu ada perjumpaan besar iaitu solat Jumaat. Tidak lama lagi bulan Ramadan, ramai orang Islam akan solat Tarawih dan selepas itu solat hari raya Aidilfitri.

"Selepas beribadat, orang Islam boleh mendapat bekalan harian daripada kios BMF yang disediakan. Begitu juga barangan seperti kurma untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan ini," katanya.

Beliau berkata, sejak MPMMK mengemukakan cadangan pembukaan kios BMF di masjid seluruh negara, projek itu mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada peniaga Islam.

"Peniaga yang berminat menyertai projek ini sudah tidak sabar untuk beroperasi, sekiranya fasa pertama ini berjaya kami rancang memperluaskan lagi ke masjid seluruh negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!