Albertine Leo ditemui di hotel murah di Batang Kali, dua lagi ditahan

Kumar (tengah) pada sidang akhbar di IPK Johor pada Selasa.
Kumar (tengah) pada sidang akhbar di IPK Johor pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di sebuah pusat perniagaan di Iskandar Puteri pada Sabtu lalu, ditemui selamat di sebuah hotel murah dekat Batang Kali, Selangor pada pagi Selasa.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, Albertine Leo Jia Hui yang berada bersama seorang lelaki di hotel tersebut telah diselamatkan sekitar jam 4.45 pagi.

"Lelaki berusia 31 tahun itu bersama-sama mangsa tersebut ditangkap dan dibawa ke Johor untuk siasatan.

"Mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan siasatan awal mendapati tiada kecederaan fizikal, namun dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Selasa.

Menurut Kumar, penahanan suspek lelaki berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan seramai lima orang.

"Dua lelaki dan seorang wanita berusia 28 hingga 55 tahun ditahan petang Isnin, dan direman selama empat hari bermula Selasa.

"Manakala seorang wanita berusia 40 tahun ditahan malam Selasa dan lelaki yang ditahan bersama-sama mangsa di Batang Kali merupakan suspek kelima ditahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, kesemua suspek tidak memiliki sebarang pertalian dengan mangsa dan semakan sedang dibuat jika suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Pihak polis masih menyiasat motif penculikan itu termasuk sekiranya ada kaitan dengan sindiket tertentu.

"Selain itu, keluarga mangsa juga tidak menerima sebarang panggilan meminta wang tebusan sepanjang mangsa diculik," katanya.

Menurutnya, pihak polis merampas sebuah kereta yang digunakan untuk melarikan kanak-kanak perempuan berkenaan.

"Selepas kehilangan kanak-kanak itu tular di media sosial, ramai yang menghubungi keluarga mangsa untuk memberikan maklumat.

"Pihak polis berterima kasih kepada orang awam yang banyak memberikan maklumat sehingga mangsa ditemui kes dapat diselesaikan dalam tempoh 48 jam," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Kumar berkata, laporan polis dibuat bapa mangsa selepas menyedari kanak-kanak itu hilang di tapak festival Bon Odori di Eco Galleria, Iskandar Puteri, Sabtu lalu, kira-kira jam 8.30 malam.

"Sebaik menyedari kehilangan mangsa, ibu bapanya berusaha mencari mangsa bersama rakan-rakan peniaga dan apabila tidak ditemui, mereka membuat laporan polis.

"Polis kemudian menggerakkan semua elemen dan melancarkan operasi bagi mengesan dan menyelamatkan mangsa," katanya.

Kes kehilangannya itu diklasifikasikan semula daripada laporan orang hilang kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!