Bunuh Zulfarhan: 6 bekas penuntut UPNM dihukum gantung

Ibu bapa Allahyarham Zulfarhan Osman memanjatkan rasa syukur di atas keputusan Mahkamah Rayuan pada Selasa.
Ibu bapa Allahyarham Zulfarhan Osman memanjatkan rasa syukur di atas keputusan Mahkamah Rayuan pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan di sini, pada Selasa menjatuhi enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hukuman gantung kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Enam tertuduh yang kini berusia 28 tahun itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mereka dikenakan hukuman terbabit selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan supaya menghidupkan semula pertuduhan asal iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketika membaca keputusan penghakiman sepanjang 232 perenggan, selama lebih tiga jam bermula jam 9.10 pagi, Hadhariah berkata, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terkhilaf apabila meminda pertuduhan dihadapi kesemua tertuduh daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, mahkamah juga mendapati hakim bicara telah terkeliru apabila menyatakan tidak diketahui kecederaan yang mana satu pada badan si mati yang menyebabkan kematian.

"Hakim bicara juga terkhilaf apabila menyatakan mahkamah perlu mencari apakah kecederaan yang paling serius untuk menentukan sama ada keenam-enam tertuduh ada niat untuk menyebabkan kematian..

"Pihak pendakwaan hanya perlu membuktikan kesemua tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan dan pendakwaan tidak perlu membuktikan kesemua tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan yang secara lazimnya bolen menyebabkan kematian.

“Hanya satu hukuman sahaja yang wajar dijatuhkan terhadap enam tertuduh ini, iaitu bawa ke suatu tempat penggantungan, di sana mereka akan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pertuduhan yang dipinda dan menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara hukuman terhadap 12 lagi bekas penuntut universiti sama yang didapati bersalah mencederakan Zulfarhan, mahkamah menaikkan hukuman penjara daripada tiga kepada empat tahun.

Semua 12 pemuda itu, ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhamad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Hadhariah berkata, sebelum ini 12 perayu ini yang kesemuanya berusia 28 tahun, merayu hukuman tiga tahun penjara, dikurangkan kepada suatu hukuman yang lebih ringan, iaitu diberi ikat jamin berkelakuan baik.

“Pada hemat kami, ia sama sekali tidak boleh dibenarkan kerana jenayah yang dilakukan sangat berat dan serius.

“Seramai 17 penuntut (daripada bilangan asal yang didakwa) memukul mangsa beramai-ramai, selama dua hari berturut-turut maka mereka harus menanggung akibat daripada perbuatan itu,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, hukuman yang wajar ialah empat tahun penjara dari tarikh sabitan maka hukuman yang dijatuhi Mahkamah Tinggi selama tiga tahun diketepikan.

Pada 2 November 2021, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan), menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut atas tuduhan mencederakan Zulfarhan tanpa niat membunuh, tujuh tahun lalu.

Dalam pada itu, lima daripada enam tertuduh (kecuali Mohamad Shobirin) dikehendaki menjalani hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu 1 Jun 2017.

Lima lelaki itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, sementara Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Hakim mendapati semua tertuduh itu bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Pada prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai, Solehah Noratikah Ismail dan N.Joy Jothi dan kesemua tertuduh diwakili barisan peguam iaitu Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus, Datuk Hisyam Teh Poh Teik,Datuk Hazman Ahmad, Amer Hamzah Arshad, AG Kalidas, Datuk Seri M. Ramachelvam, Azizzul Shariman Mat Yusoff, Datuk Abdul Karim Abd Rahman dan Ariff Azami Hussein.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!