STPM 2023: PNGK Nasional tertinggi dalam tempoh 11 tahun

Mohd Ekhwan mengumumkan keputusan STPM 2023 pada Selasa.
Mohd Ekhwan mengumumkan keputusan STPM 2023 pada Selasa.
A
A
A

SELAYANG - [DIKEMAS KINI] Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Nasional bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 meningkat sebanyak 0.02 mata iaitu 2.84 berbanding 2.82 tahun lalu.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, keputusan tersebut merupakan rekod PNGK Nasional tertinggi dalam tempoh 11 tahun sejak pelaksanaan sistem pentaksiran STPM baharu pada 2013.

"Sebanyak 1,116 calon atau 2.70 peratus calon telah mendapat PNGK 4.00. Bilangan calon yang mendapatkan PNGK 4.00 ini telah menurun sebanyak 68 calon, iaitu daripada 1,184 calon pada tahun 2022 kepada 1,116 calon pada tahun 2023.

"Daripada 1,116 calon ini, 803 calon atau 71.95 peratus adalah dari kategori B40," katanya.

Beliau berkata demikian pada ketika Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2023 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia Persiaran 1, Batu Caves pada Selasa.

Sementara itu, ujar Mohd Ekhwan, dari segi pencapaian PNGK calon secara keseluruhan, bilangan calon dan peratusan longgokan calon STPM 2023 pada PNGK 3.75 dan ke atas ialah sebanyak 4,153 calon atau 10.00 peratus.

Menurutnya, bagi pencapaian PNGK 3.00 dan ke atas pula ialah 18,621 calon atau 44.82 peratus.

"PNGK 2.75 dan ke atas ialah 24,428 calon atau 58.79 peratus, manakala PNGK 2.00 dan ke atas ialah 37,428 calon atau 90.08 peratus adalah meningkat berbanding tahun 2022.

Artikel Berkaitan:

"Dengan peningkatan bilangan calon pada PNGK yang telah disebut ini, maka boleh dijadikan jangkaan, insya-ALLAH, seperti tahun-tahun lepas, tiada halangan lebih ramai calon lepasan STPM 2023 diterima masuk ke universiti awam pada tahun ini berbanding lepasan STPM tahun 2022," ujarnya.

Dalam pada itu, ulas beliau, bilangan calon STPM 2023 yang mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil telah bertambah kepada 41 calon berbanding 38 calon pada tahun 2022.

"Daripada 41 calon yang mendapat 5A ini, 29 daripadanya adalah calon kategori B40.

"Walau bagaimanapun, bilangan calon yang mendapat 4A dalam peperiksaan STPM 2023 telah menurun sedikit, iaitu daripada 1,158 calon pada tahun 2022 kepada 1,087 calon.

"Penurunan adalah sebanyak 71 calon atau 6.13 peratus daripada tahun 2022. Daripada 1,087 calon ini juga, 782 daripadanya adalah calon kategori B40," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!