Sultan Nazrin rasmi ABPM Wilayah Utara, hub latihan penyelamatan di air

Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormatan ketika baginda berangkat merasmikan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara di Tronoh pada Selasa. Foto Bernama
Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormatan ketika baginda berangkat merasmikan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara di Tronoh pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

BATU GAJAH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Selasa berkenan berangkat merasmikan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara di Tronoh di sini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tuanku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad.

Dalam majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyempurnakan lafaz rasmi dan gimik perasmian seterusnya menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.

Baginda kemudiannya menyaksikan simulasi operasi penyelamatan di air dan darat sebelum dibawa melawat ke ruang pameran yang disediakan.

Dalam sembah ucapannya, Kor Ming berkata, bangunan akademi tersebut siap dibina pada tahun 2014 dengan kos RM40 juta dan telah beroperasi dengan kekuatan kakitangan seramai 50 pegawai diketuai seorang komandan iaitu Pegawai Bomba Gred KB48.

Menurutnya, fasiliti seperti simulator Compartment Fire Behaviour Training (CFBT), Breathing Apparatus Training Gallery (BATG), rel kereta api dan Simulator Gas Spill turut dibina di akademi itu bagi menyokong program latihan yang efektif dan berkesan kepada pegawai-pegawai bomba.

Sultan Nazrin berkenan melihat pameran selepas merasmikan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara di Tronoh pada Selasa. Foto Bernama
Sultan Nazrin berkenan melihat pameran selepas merasmikan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara di Tronoh pada Selasa. Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

"Akademi ini juga memanfaatkan kemudahan lombong sedia ada bagi latihan penyelamatan di air seperti kursus pengendalian bot dan pemantapan latihan bagi pasukan khas Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA).

"ABPM Wilayah Utara ini telah dijadikan hub dan pusat kecemerlangan bagi latihan penyelamatan di air," katanya.

JBPM kini mempunyai lima akademi iaitu ABPM Wilayah Tengah di Selangor, ABPM Wilayah Timur di Terengganu, ABPM Wilayah Utara di Perak, ABPM Wilayah Sabah dan ABPM Wilayah Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Kor Ming berkata, tahun ini kerajaan telah meluluskan RM53.8 juta ringgit bagi projek baharu fizikal binaan yang merangkumi pembinaan baharu, naik taraf dan penyelenggaraan fasiliti kebombaan termasuk balai dan kuarters.

"Peruntukan sebanyak RM64.8 juta juga diluluskan bagi pelaksanaan projek baharu fizikal kelengkapan JBPM bagi perolehan baharu dan penyelenggaraan jentera dan kenderaan bomba antaranya penggantian 10 unit bas bomba dan penyelenggaraan helikopter serta jentera pengisi bahan bakar pesawat," katanya.

Beliau turut memberitahu, nama JBPM gah di persada antarabangsa dengan pelbagai kejayaan termasuk melaksanakan misi kemanusiaan dan bantuan mencari menyelamat dalam tragedi gempa bumi di Turkiye tahun lalu.

"Kejayaan juga dirangkul dengan memenangi johan dalam acara Rip-It-Off (Berkumpulan) dan naib johan acara Braveheart (Individu) di Singapore Global Firefighters and Paramedics Challenge 2023.

"Serta pencapaian cemerlang di World Police and Fire Games 2023, Winnipeg, Kanada dengan membawa pulang 18 pingat emas, 19 perak dan 12 gangsa," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!