Selangor tawar diri tuan rumah Sukma 2026
SELANGOR menawarkan diri menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas mengambil kira manfaat yang akan diperoleh melalui temasya sukan berprestij itu.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah pada 1998 dan penganjuran semula selepas 28 tahun itu selari hasrat dengan kerajaan negeri untuk mengangkat prestasi sukan serta keupayaan atlet negeri.
Menurutnya, acara sukan yang diadakan setiap dua tahun itu juga berpotensi mengangkat pelancongan sukan yang merupakan salah satu elemen penting dalam agenda negeri.
"Kita memiliki hampir semua kemudahan infrastruktur sukan bertaraf antarabangsa. Melalui Sukma ini, kita mahu menjana bukan sahaja dari segi pelaksanaan tetapi juga menarik peminat sukan dari dalam negeri dan juga di Asia Tenggara.
"Atas faktor itu, kita melihat Selangor perlu ambil peluang penganjuran sukan berprestij ini untuk menjana ekonomi setempat.
"Dari segi penganjuran mungkin kita perlu mengeluarkan kos tetapi dari segi impak pulangan sebenarnya lebih bermanfaat kepada negeri, " katanya mengulas mengenai persediaan Selangor menjadi tuan rumah Sukma 2026.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Bizmatch Mega PKNS di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 dekat sini pada Selasa.
Dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengumumkan bahawa Selangor dipilih sebagai tuan rumah Sukma edisi ke-22.
Selangor tampil menawarkan diri untuk mengelolakan temasya tersebut dan mendapat persetujuan sebulat suara oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia ketika mesyuarat berkenaan diadakan.
Mohd Najwan berkata, penganjuran sukan itu juga memberi peluang kepada Selangor untuk menaik taraf fasiliti sukan sedia ada.
"Dari segi fasiliti, Selangor ada semua kemudahan sukan cuma perlu dinaik taraf. Ini merupakan peluang kerajaan negeri berbuat demikian yang bukan hanya untuk kemudahan atlet Selangor tetapi juga untuk persiapan sukan itu nanti," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Kompleks Sukan Shah Alam boleh dijadikan vanue utama Sukma jika ia dapat disiapkan menjelang 2026.
"Kita harap pembinaan kompleks sukan ini dapat disiapkan mengikut jadual. Jika ia dapat disempurnakan dengan baik, kita boleh jadikan sebagai vanue utama penganjuran majlis perasmian nanti," ujarnya.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 28 sukan teras ditetapkan namun yang muktamad akan diumumkan kemudian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!