STPM: Peratusan lulus penuh meningkat di Perak

Mohamad Fauzi (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengetua Cemerlang selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Negeri Perak di Jabatan Pendidikan Negeri Perak pada Selasa.
Mohamad Fauzi (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengetua Cemerlang selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Negeri Perak di Jabatan Pendidikan Negeri Perak pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Seramai 3,012 calon peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun 2023 di Perak mencatat keputusan lulus penuh dengan peningkatan peratusan sebanyak 98.21 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson berkata, jumlah itu merupakan sebahagian besar daripada 3,129 calon yang menduduki peperiksaan berkenaan pada tahun lalu melibatkan 58 buah sekolah.

Menurutnya, sebanyak 35 sekolah mencatatkan pencapaian lulus penuh 100 peratus dengan peningkatan lima sekolah berbanding tahun 2022 hanya 30 buah sekolah sahaja.

"Bilangan pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil dan mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) bersamaan 4.0 bagi negeri Perak seramai 82 orang calon.

"Seramai 1,361 orang calon pula telah mendapat PNGK antara 3.0 ke 4.0. Ini bermakna 44.4 peratus calon mendapat keputusan yang baik daripada keseluruhan calon," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Negeri Perak di Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini pada Selasa.

Mohamad Fauzi (tiga dari kiri) menyampaikan slip keputusan peperiksaan STPM kepada pelajar cemerlang selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Negeri Perak di Jabatan Pendidikan Negeri Perak pada Selasa.
Mohamad Fauzi (tiga dari kiri) menyampaikan slip keputusan peperiksaan STPM kepada pelajar cemerlang selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Negeri Perak di Jabatan Pendidikan Negeri Perak pada Selasa.

Mohamad Fauzi berkata, jumlah calon cemerlang yang memperoleh PNGK 4.0 menunjukkan penurunan iaitu 82 orang pada tahun 2023 berbanding tahun 2022 iaitu seramai 108 orang.

Jelasnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek menjadi antara sekolah terbaik di Perak apabila mencatatkan 11 orang memperoleh keputusan A dalam semua mata pelajaran diikuti SMK King Edward IIV seramai lapan orang dan SMK St George, Taiping seramai lima orang.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun bilangan sekolah yang mempunyai calon cemerlang juga turun menurun kepada hanya 35 buah pada tahun 2023 berbanding 37 buah pada tahun sebelumnya.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pengetua, guru, ibu bapa dan pelajar yang telah berusaha dengan gigih bagi menentukan kejayaan dan kecemerlangan.

"Semoga prestasi yang dicapai dalam STPM tahun ni akan menjadi cabaran kepada semua pihak dalam merealisasikan kecemerlangan pendidikan yang berterusan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Fauzi berkata, dari segi mata pelajaran pula, Tahfiz Al-Quran mencatatkan peratusan 100 peratus lulus sekaligus mengekalkan prestasi pencapaian sebelum ini.

Menurutnya, sebanyak 14 mata pelajaran yang menunjukkan peningkatan antaranya termasuklah Pengajian Am, Bahasa Melayu, Bahasa Tamil, Syariah, Sejarah, Ekonomi, Sains Sukan, Seni Visual, Matematik (M), Matematik (T), Fizik, Kimia dan Biologi.

Jelasnya, terdapat tujuh mata pelajaran pula mencatatkan penurunan peratusan lulus yang melibatkan Bahasa Cina, Bahasa Arab, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Usuluddin, Pengajian Perniagaan, Perakaunan serta Informasi dan Teknologi Komunikasi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!