19 institusi pendidikan terima wakalah majikan daripada MAIDAM

Nazli Amirri (kiri) ketika menyampaikan Anugerah Amaun tertinggi Potongan Zakat Berjadual pada tahun 2023 kepada wakil SMK Fikri
Nazli Amirri (kiri) ketika menyampaikan Anugerah Amaun tertinggi Potongan Zakat Berjadual pada tahun 2023 kepada wakil SMK Fikri
A
A
A

KUALA NERUS - Sebanyak 19 institusi pendidikan di empat daerah di Terengganu menerima wakalah majikan daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bernilai RM302,955.85 bagi bayaran zakat pada tahun 2023.

Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan) Zakat MAIDAM, Nazli Amirri Ngah berkata, wakalah majikan itu bertujuan untuk membantu pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf fakir dan miskin di sekolah serta universiti bagi mendapatkan bantuan kewangan selain keperluan asas lain.

Menurutnya, 19 institusi pendidikan itu dari empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu.

"Wakalah Majikan ini juga sebagai galakan kepada guru-guru untuk membuat Potongan Zakat Berjadual dengan MAIDAM.

"Semakin ramai guru yang membuat potongan gaji, semakin ramai pelajar asnaf yang dapat dibantu.

"Wakalah majikan bernilai RM302,955.85 ini dapat dimanfaatkan sebanyak 19 institusi pendidikan di seluruh negeri," katanya.

Nazli Amirri (kiri) ketika menyampaikan Anugerah Bilangan Pembayar Tertinggi Potongan Zakat Berjadual tahun 2023 kepada wakil SMK Haji Abdul Rahman Limbong
Nazli Amirri (kiri) ketika menyampaikan Anugerah Bilangan Pembayar Tertinggi Potongan Zakat Berjadual tahun 2023 kepada wakil SMK Haji Abdul Rahman Limbong

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Program Pendidik Cakna MAIDAM di Dewan Utama Ar Riyadh Residence pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program tersebut turut dihadiri lebih 400 guru dari Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu.

Dalam pada itu, Nazli Amirri menyatakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Fikri menerima Anugerah Amaun tertinggi Potongan Zakat Berjadual pada tahun 2023 iaitu sebanyak RM114341.20.

Selain itu, katanya Anugerah Bilangan Pembayar Tertinggi Potongan Zakat Berjadual tahun 2023 dimenangi SMK Haji Abdul Rahman Limbong.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!