Polis Kota Setar rampas 28 ketul ganja
ALOR SETAR - Polis Kota Setar berjaya merampas 28 ketulan mampat ganja bernilai RM90,000 di dua lokasi berbeza sekitar daerah ini pada Ahad dan Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten komisioner, Siti Nor Salawati Saad berkata, serbuan dijalankan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada jam 2.55 petang di sebuah rumah di Mukim Gunung.
Katanya, pihak polis berjaya menahan dua lelaki berusia 22 dan 32 tahun di rumah terbabit.
"Hasil siasatan awal ke atas kedua-dua tangkapan, polis kemudiannya berjaya merampas sejumlah 24 ketulan mampat ganja seberat 24,922 gram di sebuah rumah di Taman Lumba Kuda pada hari yang sama," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada Selasa.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut, keesokannya polis berjaya membuat rampasan sebanyak empat ketulan mampat ganja lagi seberat 3,976 gram di kawasan Mukim Gunung.
"Sindiket terbabit dipercayai aktif bermula awal tahun ini dan rumah yang diserbu itu dipercayai dijadikan lokasi transit pengedaran dadah di daerah ini," katanya.
Siti Nor Salawati berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah.
"Berdasarkan rekod lampau, suspek yang berusia 32 tahun yang juga seorang petani mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkait kesalahan dadah dan jenayah," katanya.
Jelasnya, kedua-dua suspek di reman selama tujuh hari sehingga 28 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!