Syarikat arak taja dana sekolah langgar pekeliling KPM - Pas

 Ab Halim
Ab Halim
A
A
A

SEPANG - Program kutipan dana di sebuah sekolah di Sungai Pelek di sini yang melibatkan sumbangan daripada syarikat arak telah melanggar pekeliling dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, melalui surat pekeliling KPM bertarikh 29 Mac 2018, dinyatakan di dalam perkara 7.3 bahawa tata cara penerimaan sumbangan adalah tidak melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya kerana boleh menjejaskan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

"Ia jelas telah melanggar pekeliling KPM seterusnya mencemarkan kemurnian sistem pendidikan kerana melibatkan, mempamerkan dan mempromosikan arak yang menjadi antara punca kepada pelbagai kerosakan akhlak dan moral untuk pelajar sekolah khususnya.

"Selain itu, tidak wajar kehadiran beberapa pemimpin kerajaan negeri dan pusat termasuk Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu di dalam program ini yang dilihat sangat menyokong dan merestui keterlibatan syarikat arak di dalam program berkaitan pendidikan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu berkata, penglibatan syarikat arak dalam sekolah, termasuk memaparkan logo produk tersebut merupakan bentuk promosi secara langsung kepada minuman keras.

Secara tidak langsung katanya, tindakan itu membawa kepada normalisasi budaya minum arak dan boleh mempengaruhi kecenderungan pelajar pada masa akan datang dalam pengambilan minuman beralkohol.

"Tidak maklum akan pekeliling yang dikeluarkan sejak 2018 oleh pihak pengurusan sekolah adalah merupakan satu alasan yang tidak dapat diterima akal.

"Kejadian seperti ini pastinya mengundang tanda tanya tentang tahap pemantauan yang dilaksanakan oleh KPM ke atas aktiviti sumbangan yang berlaku di sekolah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, tiada kompromi ke atas pihak pengurusan sekolah yang sewenang-wenang melanggar pekeliling KPM kerana boleh mencemarkan kemurnian pendidikan dengan nilai yang boleh merosakkan moral dan akhlak pelajar.

"Tidak masuk akal yang sihat apabila pemimpin kerajaan turut sama terlibat dan merestui keterlibatan syarikat arak di dalam membangun prasarana pendidikan, sama ada mereka tidak tahu atau mereka tidak peduli.

"Tidak boleh diterima akal juga apabila ada Timbalan Menteri yang memberi kenyataan bahawa pekeliling PKM di atas perkara berkaitan tidak semestinya dipatuhi," katanya.

Jumaat lalu, Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilaporkan telah memberi penjelasan mengenai kehadirannya pada majlis itu.

Katanya, sebagai tetamu yang diundang beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!