Kes bunuh Zulfarhan jenayah paling kejam jarang ditemui - Hakim

Bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman iaitu Zulkarnain Idros (kiri) dan isterinya, Hawa Osman menunjukkan gambar anak mereka ketika ditemui di Mahkamah Tinggi pada Selasa.
Bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman iaitu Zulkarnain Idros (kiri) dan isterinya, Hawa Osman menunjukkan gambar anak mereka ketika ditemui di Mahkamah Tinggi pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa menyifatkan pembunuhan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu, sebagai jenayah kekejaman yang paling jarang ditemui.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata demikian ketika membaca keputusan penghakiman sepanjang 232 perenggan, selama lebih tiga jam bermula jam 9.10 pagi.

Beliau berkata, meskipun enam tertuduh ini melihat mangsa menggelupur kesakitan, mereka tetap menutup mata, tidak peduli dan terus menekap seterika.

Menurutnya, perbuatan itu dibuat hampir keseluruhan badan mangsa termasuk di bahagian kemaluan (kecuali di muka), mengakibatkan 90 kesan lecur.

“Perbuatan tertuduh cukup kejam kerana mangsa telah diikat kaki dan tangan, yang mana sebelum diseterika ke seluruh badan, dia telah dipukul beramai-ramai.

“Walaupun enam tertuduh ini mendengar mangsa menjerit berpuluh kali, mereka memekakkan telinga dan terus juga menekap seterika.

“Perbuatan lima daripada enam tertuduh, menunjukkan mereka berniat jahat, zalim, tidak berperikemanusiaan dan tanpa ada rasa belas kasihan sesama rakan pengajian,” katanya.

Bukan itu sahaja beliau berkata, semua tertuduh ini menyembunyikan mangsa untuk mengelakkan perbuatan jenayah mereka diketahui pihak atasan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka tidak membawa mangsa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan meskipun telah dinasihatkan oleh Pegawai Perubatan Klinik As-Salam Bandar Baru Bangi, Dr Azfar Hussin.

Menurutnya, mereka menyalahkan Zulfarhan dalam kejadian ini sedangkan hakikat yang sebenarnya ialah semua masalah ini berpunca daripada perbuatan semua tertuduh ini.

Hadhariah berkata, mahkamah bersetuju dengan pendakwaan bahawa cara jenayah bunuh dilakukan bukan sahaja mengejutkan ‘hati nurani kehakiman’ malah termasuk masyarakat.

“Kes sebegini paling jarang ditemui daripada kes-kes yang pernah berlaku atau ‘rarest of the rare’.

“Ia melibatkan jenayah kekejaman yang amat berbahaya kepada masyarakat, perbuatan zalim sebegini harus dihentikan,” katanya yang bersidang bersama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Mahkamah Rayuan di sini, pada Selasa menjatuhi enam bekas penuntut UPNM hukuman gantung kerana membunuh Zulfarhan, tujuh tahun lalu.

Enam tertuduh yang kini berusia 28 tahun itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Sementara hukuman terhadap 12 lagi bekas penuntut universiti sama yang didapati bersalah mencederakan Zulfarhan, mahkamah menaikkan hukuman penjara daripada tiga kepada empat tahun.

Kesemua 12 pemuda itu, ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhamad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

@sinarharianonline

Tubuh Zulfarhan seolah-olah tidak mempunyai nilai pada kaca mata tertuduh - Hakim Muzik: Theatre of Delays - Black Sea - No Drums Version #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #BuletinTikTok #Semasa #Jenayah #Bunuh #Zulfarhan #UPNM #Buli #Mahkamah

original sound - Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!