Tempoh pemerhatian mental tertuduh kes bunuh, bakar kekasih hamil dilanjut

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KLANG - Mahkamah Tinggi di sini memberikan tempoh tambahan hingga 13 Ogos depan kepada Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Perak untuk pemerhatian lanjut keadaan mental seorang pemuda didakwa membunuh teman wanitanya yang hamil, tahun lepas.

Tempoh lanjutan itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mohd Hirman Ab Raub dalam prosiding sebutan semula kes bunuh ke atas Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 21, pada Selasa.

"Laporan psikiatri masih belum sedia. Jadi kita bagi lanjutan hingga 13 Ogos,” katanya serta menetapkan 14 Ogos depan bagi serahan keputusan laporan psikiatri berkenaan.

Mohd Hirman berkata, tarikh perbicaraan dijangka ditetapkan semasa sebutan semula kes itu bergantung kepada laporan yang akan diterima nanti.

Mahkamah Tinggi Klang pada 15 Mei lepas membenarkan permohonan Muhammad Fakrul Aiman yang diwakili peguam Muhammad Nor Tamrin untuk dirujuk kepada pakar psikiatri bagi menjalani pemeriksaan mental.

Pada 1 Jun tahun lepas, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei 2023, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan di luar nikah dipercayai punca seorang pelayan restoran dibunuh secara kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau pada 22 Mei tahun lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!