'Kejayaan ini untuk mak yang bekerja keras demi kami'

Amsyar Muawiyah
Amsyar Muawiyah
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang anak pekerja pembersihan membuktikan mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan pada Selasa.

Amsyar Muawiyah Mohd Sofi, 20, dari Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin antara lapan pelajar yang memperoleh keputusan dengan nilai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia tidak menyangka akan memperoleh keputusan berkenaan dan mendedikasikan kejayaan itu buat ibunya, Marziah Ismail, 47 yang menjadi tonggak keluarga selepas kematian bapanya empat tahun lalu.

Bercita-cita menjadi guru, Amsyar Muawiyah bertekad untuk mengubah nasib keluarganya dan mahu membalas jasa ibunya yang selama ini bersusah payah membesarkan dia serta adiknya.

"Kejayaan ini untuk mak kerana selama ini dia yang bekerja keras dengan bekerja sebagai 'cleaner' dan memperoleh pendapatan tidak seberapa.

"Mak selalu pesan supaya kami dua beradik belajar bersungguh-sungguh dan jadi insan yang berjaya walaupun kami hanya anak kepada tukang cuci," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Berkongsi mengenai rutin hariannya, Amsyar Muawiyah berkata, dia memperuntukkan masa antara dua hingga tiga jam setiap kali mengulang kaji pelajaran selain selalu melakukan belajar berkumpulan bersama rakan kolej.

Beliau berharap, impiannya untuk menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) akan tercapai dan mampu merealisasikan cita-citanya sebagai pendidik tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Turut berkongsi kejayaan sama, Nur Fadzlina Thaulath, 20, yang merupakan anak kepada pembantu kedai roti canai di Jalan Gemas di sini.

Nur Fadzlina
Nur Fadzlina

Nur Fadzlina berkata, impiannya juga mahu menjadi seorang guru dan berhasrat untuk menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Beliau yang juga Timbalan Majlis Perwakilan Pelajar di kolej berkenaan berkata, meskipun sibuk dengan pelbagai aktiviti di kolej namun dia membahagikan masa sebaiknya untuk mengulang kaji pelajaran.

"Kejayaan dua kakaknya menjejakkan kaki ke menara gading menjadi inspirasi buat saya dan saya juga mahu banggakan kedua ibu bapa suatu hari nanti.

"Kakak sulung memperoleh ijazah di USM, manakala seorang lagi masih menuntut di Institut Perguruan Kuala Lumpur," kongsi anak ketiga daripada empat beradik itu.

Roland@Rozaidi mengucapkan tahniah kepada lapan pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan dengan nilai PNGK 4.00.
Roland@Rozaidi mengucapkan tahniah kepada lapan pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan dengan nilai PNGK 4.00.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Roland@Rozaidi Abu Hassan dalam sidang akhbar mengumumkan keputusan STPM bagi Pulau Pinang berkata, daripada 1,727 calon yang layak mendapat sijil, seramai 70 orang daripadanya menunjukkan prestasi cemerlang dengan keputusan PNGK 4.00.

Pelajar cemerlang STPM tidak menyesal tolak tawaran diploma

Sementara itu di ALOR SETAR, KEDAH, seorang pelajar cemerlang STPM tidak menyesal melepaskan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di sebuah universiti awam (UA) kira-kira dua tahun lepas.

Fatnin Ayuni Hasrizal, 20, membuktikan keputusannya masuk ke Tingkatan 6 Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin adalah pilihan tepat apabila meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan Nasional (PNGK) 4.00 dalam STPM 2023.

Fatnin (tengah) bergambar bersama keluarga selepas menerima keputusan STPM di Alor Setar pada Selasa.
Fatnin (tengah) bergambar bersama keluarga selepas menerima keputusan STPM di Alor Setar pada Selasa.

Menurutnya, dia sememangnya menjadikan Tingkatan Enam sebagai pilihan pertama untuk menyambung pengajian selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tapi saya tolak untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam.

"Alhamdulillah, keputusan saya tepat dan terbalas, jadi terima kasih kepada semua yang menyokong termasuklah cikgu-cikgu dan pihak sekolah," katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita pada Selasa.

Fatnin antara 10 pelajar Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin memperolehi keputusan PNGK 4.00 yang diumumkan pada Selasa.

Menurut Fatnin, dia bercadang untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas ini.

Katanya, dia tidak menyangka akan meraih keputusan cemerlang memandangkan hanya memperolehi B - untuk subjek Sejarah ketika semester satu.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur apabila mendapat keputusan PGNK 4.00 berkat belajar bersungguh-sungguh dalam tempoh pengajian di Tingkatan Enam itu.

Seorang lagi pelajar cemerlang STPM, Chin Yee Xuan, 20, turut mengakui, keputusannya melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam dan mengambil STPM adalah tepat.

Beliau yang bercita-cita menjadi akauntan menyifatkan, STPM kini menawarkan sistem pengajian baharu yang lebih baik, mudah dan kurang tekanan kepada pelajar.

Yee Xuan yang meraih keputusan PNGK 4.00 berpandangan, sistem baharu STPM membolehkan dirinya membahagikan masa dengan lebih baik.

Katanya, STPM juga kini mempunyai status sebagai Prauniversiti, sekali gus memberi peluang istimewa kepada pelajar terutamanya yang tidak dapat menyambung pengajian ke matrikulasi.

Dalam pada itu, menurut Wong Shuang Er, 20, dan Wong Shuang Yee, 20, yang masing-masing meraih keputusan PNGK 4.00 dan 3.84, menjadi kembar memberi kelebihan kepada mereka kerana dapat belajar bersama-sama.

Shuang Er berkata, mereka juga dapat berbincang apabila ada sesuatu subjek yang kurang difahami.

"Pada mulanya, kami keliru dan tidak tahu hendak menyambung pengajian ke mana selepas tamat SPM lalu mendengar cakap bapa untuk masuk Tingkatan Enam dan ternyata STPM memang bagus," katanya.

Sementara itu, Wisam Mohamad Roslee, 20, yang merupakan satu-satunya pelajar lelaki yang meraih keputusan PNGK 4.00 dari Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin,menekankan aspek pemahaman untuk meraih keputusan cemerlang dalam STPM.

"Yang penting, bukan berapa banyak kita hafal tetapi berapa banyak kita faham, makna kita perlu lebih kepada kualiti daripada kuantiti," katanya.

'Ini sahaja yang dapat banggakan ibu bapa, keluarga dan sekolah'

Di IPOH, PERAK, impian seorang anak kampung untuk membanggakan keluarganya tercapai apabila berjaya memperoleh keputusan A bagi semua mata pelajaran dengan PNGK 4.00 dalam peperiksaan STPM.

Pelajar SMK Tun Abdul Razak Selekoh, Muhammad Iqhfaz Hasif Abdullah, 20, bersyukur kerana usaha dan pengorbanannya selama ini membuahkan hasil apabila memperoleh keputusan cemerlang itu.

Muhammad Iqhfaz Hasif (tengah) bersama kedua orang tuanya selepas menerima keputusan cemerlang sempena Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Negeri Perak di Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini pada Selasa.
Muhammad Iqhfaz Hasif (tengah) bersama kedua orang tuanya selepas menerima keputusan cemerlang sempena Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Negeri Perak di Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini pada Selasa.

Menurutnya, kejayaan itu juga tidak akan diperoleh tanpa komitmen tinggi guru-guru yang tidak pernah berputus asa memberi kefahaman serta sokongan kuat daripada ibu bapa.

"Pencetus semangat saya adalah impian untuk banggakan ibu bapa, keluarga dan sekolah. Saya tak ada duit atau apa-apa, ini sahaja yang saya mampu lakukan untuk banggakan semua dan Alhamdulillah berkat usaha, doa serta tawakal, saya berjaya dapat keputusan cemerlang.

"Dugaan itu memang banyak sebab saya tinggal di kampung dan bukan daripada keluarga senang. Kekurangan dari sudut kemudahan teknologi dan persekitaran itu mendorong saya untuk lebih gigih berusaha untuk berjaya," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Muhammad Iqhfaz Hasif yang tinggal di Kampung Sungai Balai, Bagan Datuk ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Negeri Perak di Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini pada Selasa.

Dia yang hadir menerima slip keputusan peperiksaan daripada Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson itu turut ditemani kedua ibu bapanya, Abdullah Puteh, 59 dan Zuneidah Zazuli, 53.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Amni Zafirah Shahril, 20, mengakui antara faktor kejayaan memperoleh PNGK 4.0 itu kerana menjaga hubungan baik dengan ALLAH menerusi beberapa amalan harian yang dilakukan.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Azlan Shah itu, permulaan harinya akan disempurnakan dengan bacaan al-Quran dan doa al-Mathurat disusuli dengan solat sunat Duha sebelum belajar.

"Paling penting sebenarnya kita jaga hubungan dengan ALLAH, ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan. Pada sebelah malam pula saya akan tidur lewat sikit belajar sendiri untuk buat ulang kaji semua yang dipelajari pada hari berkenaan.

"Kejayaan ini mungkin hasil doa ibu bapa saya dan berkat ilmu guru-guru yang mengajar kami. Jika diberi peluang saya berhasrat untuk melanjutkan pengajian di UKM dalam bidang al-Quran dan al-Sunnah," katanya yang merupakan anak peneroka dan guru.

Sementara itu, bagi Pengetua Cemerlang SMK Jalan Tasek, Salleh Yusuf, kejayaan 11 orang pelajar sekolahnya cemerlang memperoleh PNGK 4.00 amat membanggakan walaupun berkurangan berbanding tahun 2022 seramai 12 orang.

Menurutnya, ia merupakan hasil kegigihan guru-guru dengan disokong oleh ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak luar yang tidak jemu membantu pihak sekolah.

Jelasnya, kerja keras guru-guru yang melaksanakan pelbagai inisiatif seperti kelas tambahan termasuk pada waktu cuti sekolah membuahkan hasil.

"Tidak dilupakan juga bantuan oleh pihak Yayasan Perak dan kerajaan negeri menerusi Program Tuisyen Cikgu Saarani yang amat membantu pelajar untuk memberi fokus dalam pelajaran seterusnya membuahkan hasil kejayaan membanggakan.

"Bagi memastikan kejayaan ini berterusan, kita akan pastikan segala perancangan dan hala tuju diletakkan dapat dicapai pada tahap terbaik," katanya.

Beliau turut mengakui dengan kejayaan tersebut, sekolah berkenaan kini menjadi pilihan ibu bapa untuk memastikan anak mereka memperoleh kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!