[VIDEO] Mata tiada iris, tidak halang Noorhaslin cemerlang STPM
KOTA BHARU - Dilahirkan tanpa iris mata, Noorhaslin Rosidi Sabri, 20, tidak menjadikan kekurangan itu sebagai halangan apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan pada Selasa.
Anak kedua daripada tujuh beradik yang tergolong sebagai orang kurang upaya (OKU) itu tidak pernah menyangka mendapat purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 3.0 apabila memikirkan situasi yang perlu dihadapinya sepanjang menduduki peperiksaan.
"Mata saya hanya boleh melihat dan membaca sekitar 30 minit sahaja, kalau tidak ia akan menjadi pedih serta mengeluarkan lendir.
"Semasa peperiksaan, saya mendapat lebihan masa 30 minit, penulisan pada kertas soalan dibesarkan serta terpaksa menggunakan kanta," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lil-Banat di sini.
Menurut Noorhaslin, menyedari keadaan tersebut dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk STPM kali ini.
Bagaimanapun dia bersyukur apabila mendapat A- dalam mata pelajaran Usuluddin, B (Syariah), B- (Bahasa Melayu), C (Pengajian Am) dan D (Bahasa Arab).
Tambah Noorhaslin, kehidupannya sebagai pelajar sangat mencabar kerana di dalam kelas hanya mampu mendengar suara guru, manakala apa yang ditulis di papan putih langsung tidak dapat dilihat dengan mata kasarnya walaupun sudah berada di barisan hadapan.
"Setiap hari saya terpaksa bangun seawal jam 3 atau 4 pagi untuk mengulangkaji pelajaran, manakala di sekolah perlu meminta bantuan rakan-rakan serta guru.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang banyak membantu sepanjang di sekolah.
"Tidak lupa kedua ibu bapa iaitu Rus Mat Husain dan Rosidi Sabri," katanya yang bercita-cita menjadi seorang guru.
Walaupun keadaannya seperti itu, Noorhaslin juga merupakan seorang atlet para Sukan Malaysia (Sukma) untuk acara olahraga 100, 200 meter dan lompat jauh.
Katanya, dia mewakili negeri Selangor bertanding di Sukma yang akan berlangsung di Sarawak pada September ini.
Noorhaslin berkata, ibunya yang bekerja sebagai pembantu tadbir di SMK Kadok dan ayahnya, penolong pegawai perubatan di Hospital Sultan Ismail Petra antara insan yang tidak pernah jemu memberikan semangat kepadanya.
"Alhamdulillah dengan keputusan cemerlang ini diharap impian saya untuk melanjutkan pengajian ke menara gading akan tercapai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!