123 rakyat Malaysia selamat naiki penerbangan khas dari Bangladesh

Penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh berlepas pada 7.30 pagi Selasa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2. Foto Bernama
Penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh berlepas pada 7.30 pagi Selasa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 123 rakyat Malaysia telah selamat menaiki penerbangan khas AirAsia AK76 pada Selasa, jam 11.23 pagi waktu tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka, Bangladesh untuk pulang ke tanah air.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, kesemua mereka dijangka tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 5.10 petang waktu Malaysia.

Ketibaan mereka akan disambut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.

“Kementerian juga ingin memaklumkan bahawa beberapa rakyat Malaysia telah memutuskan untuk kekal di Bangladesh. Sebahagian daripada mereka adalah pelajar tahun akhir dan rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu.

“Mereka yang memilih untuk kekal adalah disarankan untuk terus berkomunikasi dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka bagi menerima maklumat terkini dan sokongan jika perlu. Pihak suruhanjaya sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan serta memastikan keselamatan mereka terjamin," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka akan terus beroperasi seperti biasa dan memantau situasi dengan rapat, sedia bertindak dengan pantas terhadap sebarang perkembangan, serta memastikan semua rakyat Malaysia di Bangladesh mendapat maklumat dan sokongan yang diperlukan.

"Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka telah menyelaraskan proses ini dengan kerjasama rapat daripada kerajaan Bangladesh.

"Sehubungan itu kerajaan Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan Bangladesh atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam memastikan proses membawa pulang rakyat Malaysia dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seramai 192 rakyat Malaysia berada di Bangladesh membabitkan 124 pelajar, bukan pelajar (58), dan keluarga petugas kedutaan (10).

Penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bagi membawa pulang mereka susulan ketegangan di negara berkenaan

Anwar ketika merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 pada Isnin dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh kerana mengutamakan keselamatan mereka, berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu.

Beliau berkata, ia susulan pemantauan Kementerian Luar terhadap perkembangan mutakhir di Bangladesh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!