Mydin Manjoi perlu lakukan penilaian keselamatan - Bomba
BATU GAJAH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menyarankan agar pengurusan Pasar Raya Besar Mydin Manjoi melakukan penilaian keselamatan terhadap premis itu bagi mengelak insiden runtuhan bangunan berulang.
Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, dalam kebanyakan kes, mana-mana bangunan yang mengalami kebakaran besar akan menerima kesan retakan serius yang mengundang risiko runtuhan.
"Pemilik bangunan perlu ambil tanggungjawab dapatkan keterlibatan jabatan sepatutnya seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan bangunan dan struktur premis itu kuat atau tidak.
"Sama ada perlu bina semula menggunakan struktur sama ataupun runtuh keseluruhan.
"Dalam kes ini, kesan daripada bahang kebakaran dan pemadaman memang akan menyebabkan rekahan sekali gus menjadikan struktur bangunan berisiko dan tidak selamat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis perasmian Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara di Tronoh di sini pada Selasa.
Perasmian ABPM Wilayah Utara yang siap dibina pada tahun 2014 dengan kos RM40 juta dan dijadikan hub latihan penyelamatan di air itu disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Sayani berkata, buat masa ini, orang awam dinasihatkan tidak menghampiri kawasan tersebut kerana dikhuatiri terdapat sisa bangunan lain yang mengalami runtuhan sama.
Katanya, meskipun keseluruhan kawasan bangunan terbabit dalam keadaan berpagar, serpihan bangunan akibat runtuhan kuat masih boleh mencederakan orang awam yang berada berhampiran.
"Semasa proses pemadaman dan penyiasatan dilakukan dulu, memang kita tidak benarkan orang awam berada hampir tetapi setelah selesai dan kita serahkan semula (bangunan), semua itu adalah tanggungjawab pemilik dalam memastikan kawasan selamat.
"Bukan bidang kuasa bomba lagi untuk mengeluarkan kompaun dan sebagainya," katanya.
Dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang pada Isnin, dua remaja lelaki cedera akibat terkena serpihan batu dinding Pasar Raya Besar Mydin Manjoi yang runtuh.
Bangunan berkenaan yang ditutup kepada orang awam selepas mengalami kebakaran, 10 Mac lalu dipercayai sedang dalam proses kerja-kerja meroboh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!