KPM, KPT rancang bina Kolej Tingkatan 6 Premium tahun depan
SELAYANG - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang merangka beberapa inisiatif untuk pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) termasuk perancangan membina Kolej Tingkatan Enam Premium pada tahun hadapan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif tersebut bagi memberi tumpuan kepada pelajar SPTM termasuk dari segi peranan, pencapaian dan sumbangan mereka dalam bidang-bidang lain.
"Dalam konteks kerjasama silang kementerian khususnya KPT itu diharap, meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan Enam khususnya Kolej Tingkatan Enam Premium, yang akan kita laksanakan pada tahun hadapan.
"Mudah-mudahan kerjasama ini kita akan dapat memberi lebih tumpuan dalam meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan Enam," katanya.
Beliau demikian ketika sidang media selepas Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan STPM dan Malaysian University English Test (MUET) Tahun 2023 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia Persiaran 1, Batu Caves pada Selasa.
Dalam pada itu, ujar Fadhlina, pihaknya akan membuat pengumuman lanjut berkaitan inisiatif pembinaan kolej tersebut selepas proses penyelarasan selesai.
"Buat masa ini, kita dalam proses penyelarasan di peringkat KPT dan kita harap program ini dapat dilaksanakan untuk pengambilan STPM pada tahun hadapan.
"Insya-ALLAH kita akan perhalusi dan kita akan umumkan apabila semua peringkat penyelarasan selesai," ujarnya.
Sementara itu, menurut beliau, KPM juga turut menegaskan penambahbaikan lain dari segi memperhalusi pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam.
"Kita telah maklumkan itu adalah antara usaha kita untuk menjaga kebajikan mereka.
"Usaha ini akan diteruskan termasuk mengangkat idea atau cadangan ini ke peringkat Belanjawan pada tahun ini," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!