Pelan Induk Wakaf Nasional dilancar tahun hadapan - Mohd Na'im
PUTRAJAYA - Pelan Induk Wakaf Nasional 2025- 2030, yang sedang dirangka Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), dijangka dilancarkan tahun hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pelan itu yang turut melibatkan gerak kerja di peringkat Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan agensi Persekutuan, bertujuan untuk memperkasakan dan menyelaraskan pengurusan dan pentadbiran wakaf di negara ini.
"Kita nak selaraskan pentadbiran wakaf di negeri-negeri sebab kita tahu Majlis Agama Islam Negeri-Negeri adalah pemegang tunggal wakaf di negeri masing-masing.
"Jadi dengan adanya pelan induk ini, kita akan dapat menyelaraskan pentadbiran supaya manfaat daripada wakaf ini akan benar-benar dapat menjana ekonomi, sama ada di negeri tersebut ataupun di negara kita," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Sahabat Wakaf Korporat YWM, di sini pada Selasa.
Beliau berkata, di bawah pelan induk itu, YWM akan dijadikan sebagai agensi pusat untuk menyatukan dana wakaf di peringkat agensi Persekutuan, sektor korporat dan perbankan Islam yang mempunyai cawangan di seluruh negara.
Sementara itu, Mohd Na'im dalam ucapannya berkata, instrumen wakaf mempunyai peranan yang sangat ampuh untuk membangunkan ummah.
"Saya berpandangan bahawa pendanaan wakaf secara berterusan amat penting bagi memastikan kelestarian wakaf di Malaysia.
"Bagi tujuan ini, pelaksanaan wakaf ekonomi atau wakaf produktif perlu diambil kira dalam setiap pembangunan wakaf bagi menghasilkan pulangan atau keuntungan, yang kemudiannya digunakan untuk tujuan sosial,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!