Abang sempat hantar sepotong kek hari jadi sebelum kemalangan

Muhamad Isyam (berdiri) dan anaknya, Muhammad Aisy Afnan (kanan) maut manakala isterinya, Munirah dan Muhammad Umar masing-masing mengalami kecederaan selepas terbabit kemalangan di KM18 Jalan Jerantut-Temerloh pada Isnin.
Muhamad Isyam (berdiri) dan anaknya, Muhammad Aisy Afnan (kanan) maut manakala isterinya, Munirah dan Muhammad Umar masing-masing mengalami kecederaan selepas terbabit kemalangan di KM18 Jalan Jerantut-Temerloh pada Isnin.
A
A
A

JERANTUT - Seorang tukang rumah sempat menghantar sepotong kek hari jadi anaknya ke rumah ibunya sebelum maut akibat kemalangan di Kilometer (KM)18 Jalan Jerantut-Temerloh dekat simpang Bukit Ketupat di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, Muhamad Isyam Abdullah Sani, 43, dan anak sulungnya, Muhammad Aisy Afnan, 6, meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Munirah Mahmood, 28, serta seorang lagi anak, Muhammad Umar Affan, 4, mengalami kecederaan.

Kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dinaiki empat beranak itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang lampu jalan.

Adik mangsa, Asrizal, 37, memberitahu abangnya yang juga anak kedua daripada empat beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum kejadian.

Menurutnya, keluarga tersebut kerap datang ke rumah ibunya di Kampung Bukit Dinding di sini yang terletak berhampiran kira-kira dua kilometer dari rumah sewa mereka.

"Kebiasaannya, abang dan isterinya selalu datang ke rumah dengan menunggang dua motosikal berasingan sambil membawa anak-anak.

"Tapi petang semalam, mereka menaiki motosikal empat beranak untuk menghantar sepotong kek hari jadi anak keduanya," katanya.

Asrizal berkata, empat beranak itu meluangkan masa kira-kira sejam sebelum pulang ke rumah sewa di Taman Bukit Ketupat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebelum itu Muhammad Aisy Afnan beria-ria bersalaman dan memaklumkan hendak balik.

"Kemudian, saya menerima panggilan daripada telefon bimbit arwah abang yang digunakan oleh pemanggil memaklumkan kejadian itu dan turut mendengar suara kakak ipar.

"Sebelum itu, emak ada menyatakan perasaan tidak sedap hati selepas mendengar bunyi siren ambulans dan memaklumkan ada kejadian berlaku di kawasan berdekatan," katanya yang reda dengan kehilangan sekelip mata tersebut.

Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Bukit Dinding kira-kira jam 4.30 pagi Selasa.

Munirah pula kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh, manakala anaknya di Hospital Jerantut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!