'Siti' mana paling pantas buat kerja rumah? Ada lebih 50 Siti sudah mendaftar!
Program Mencari Siti membuka peluang kepada peserta bernama Siti dalam menonjolkan bakat dan kemahiran masing-masing untuk berentap pada Sabtu ini.
Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin berkata, 'Siti' sebenar akan dipilih berdasarkan keupayaan dan ketangkasan menyelesaikan cabaran.
"Untuk menjadikan pertemuan antara ‘Siti’ ini lebih istimewa, kami akan mengadakan pertandingan seperti melipat baju paling kemas, mengasingkan beras, kacang hijau, lada hitam paling pantas; mengupas bawang dan pelbagai lagi.
“Pada hujung program, kita akan mengetahui siapakah ‘Siti’ yang terbaik antara yang terbaik. Pemenang akan berpeluang membawa pulang wang tunai sehingga RM1,000 berserta hadiah iringan lain,” katanya.
Menurutnya, cabaran yang diberikan adalah berdasarkan ciri-ciri wanita Melayu yang mampu membawa gelaran Siti sebagai wanita Melayu terakhir.
Beliau berkata, sehingga kini, aktiviti tersebut mendapat sambutan lebih 50 penyertaan, malah pihak SinarPlus turut mengalu-alukan lebih ramai peserta yang berminat untuk menyertai program berkenaan.
"Pertandingan ini mendapat sambutan ramai yang mana sudah lebih 50 penyertaan dihantar untuk turut serta.
"Sehingga kini, kami masih membuka peluang kepada anda yang bernama ‘Siti’ dari seluruh Malaysia yang berminat tetapi masih belum berdaftar, bolehlah berbuat demikian sebelum 26 Julai ini.
"Pada hujung program iaitu 27 Julai ini, kita akan mengetahui 'Siti'yang terbaik antara yang terbaik dan berpeluang membawa pulang wang tunai beserta hadiah iringan lain," ujarnya.
Dalam pada itu, keterlibatan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam program berkenaan juga membuka peluang untuk meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai zakat, khususnya kepada kaum wanita.
Selain hebat dalam menguruskan rumah tangga, kaum Hawa juga memiliki pengetahuan akan rukun Islam ketiga itu.
Pemilik Klinik Camellia, Dr Siti Nor Raha Tuhaijan yang juga bekas penerima bantuan pendidikan LZS antara yang boleh dijadikan aspirasi dalam kalangan kaum wanita Muslimah berjaya.
Bagi anda yang bernama ‘Siti’, jangan ketinggalan untuk menyertai pertandingan ini. Daftar DI SINI atau di Kod QR yang disediakan. Maklumat lanjut hubungi nombor tertera 019 232 9032.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!