Tiga anggota polis didakwa bunuh Mohamad Hafiz

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

LANGKAWI - Tiga anggota polis termasuk seorang berpangkat Asisten Superintenden dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan membunuh seorang lelaki pada Januari lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan ke atas Asisten Superintenden, Azhar Mohamad Amir, 45; Koperal Shahril Firdaus Solleh, 36, dan Koperal Mohd Shaharri Shah Mat Saad, 36, di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal pada Selasa.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan jurubahasa, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama membunuh Mohamad Hafiz Salleh, 32, di pejabat operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.

Mereka yang bertugas di BSJN, IPD Langkawi telah didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 6 petang hingga 8 malam pada 29 Januari lalu.

Kes terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau dipenjara minimum 30 tahun atau minimum 12 sebatan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Khairul Anuar Abd Halim manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Dalam perkembangan sama, mahkamah turut menerima permohonan pendakwaan tidak membenarkan ikat jamin terhadap semua tertuduh dan menetapkan 20 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Pada awal Februari lalu, tular rakaman sekumpulan anggota polis didakwa menggunakan kekerasan semasa menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Ayer Hangat, di sini.

Artikel Berkaitan:

Adik mangsa dikenali Salwana Salleh di catatan Facebooknya berkata, dia mewakili keluarganya menuntut pembelaan di atas kematian lelaki terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!