Buat aduan kepada MAVCOM jika tak puas hati penerbangan lewat, ditunda
SEREMBAN - Penumpang syarikat penerbangan yang terjejas ekoran gangguan teknologi maklumat (IT) global baru-baru ini yang menyebabkan berlaku kelewatan penerbangan boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebagai pengguna, mereka berhak membuat aduan sekiranya tidak berpuas hati.
Menurutnya, gangguan yang berlaku adalah di luar jangkaan dan ia bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi di seluruh dunia.
"Di lapangan terbang, mereka terpaksa menggunakan sistem manual di kaunter-kaunter dan terpaksa mengambil masa lebih panjang.
"Jadi, sudah tentu berlaku kelewatan dan kita perlu memahami operasi penerbangan ini, mereka menggunakan pesawat sama untuk banyak penerbangan. Jadi kalau ada satu penerbangan itu terlewat, ia akan beri impak kepada penerbangan lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program TVET Permotoran@ Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang meluahkan rasa kecewa kerana terkandas di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) selama beberapa jam dan mendakwa syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia menukar jadual penerbangan dari Kota Kinabalu ke Sandakan, Sabah sebanyak lima kali.
Menurut Anthony, syarikat penerbangan juga diharap dapat menambah baik prosedur dan sistem komunikasinya dengan pelanggan.
Namun, pada masa sama beliau berharap pelanggan juga dapat memahami masalah yang berlaku.
"Saya faham apabila seorang itu terkesan dan tak dapat mengambil penerbangan, sudah tentu mereka rasa dukacita, marah dan sebagainya.
"Jadi saya harap sistem komunikasi ini dapat ditambah baik. Tapi apa pun, perkara yang berlaku adalah sesuatu di luar jangkaan dan kita tak tahu masalah sistem itu berlanjutan begitu lama," katanya.
Selain itu, Anthony mengakui aduan mengenai kelewatan serta penundaan penerbangan sememangnya sering diterima dan syarikat penerbangan terlibat sentiasa dalam pemantauan MAVCOM, malah ada yang telah dikenakan denda.
Namun beliau berkata, semua pihak perlu memahami isu tersebut berlaku disebabkan pelbagai faktor antaranya berkaitan teknikal dan cuaca.
"Saya memahami satu pihak bahawa pelanggan memang tak puas hati bila berlaku kelewatan. Tapi pada masa sama kena lihat keseimbangannya.
"Aspek keselamatan perlu diberi keutamaan dan tidak boleh dikompromi langsung. Saya harap semua pihak faham dan bukannya kementerian tidak mahu ambil tindakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!