[VIDEO] Cemerlang STPM: Jaga hubungan dengan ALLAH, restu ibu bapa

A
A
A

KUANTAN - Menjaga hubungan dengan ALLAH, selain restu daripada ibu bapa antara rahsia kejayaan anak peneroka Felda Bukit Goh apabila mendapat Putara Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 yang diumumkan pada Selasa.

Calon STPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astana, Aienur Salmalisa Mohd Jafri, 20, berkata, dua perkara itu menjadi keutamaan kepada dirinya bagi mendapatkan keberkatan hidup.

Aienur Salmalisa (kiri) tidak menyangka memperolehi keputusan cemerlang dalam STPM yang diumumkan pada Selasa.
Aienur Salmalisa (kiri) tidak menyangka memperolehi keputusan cemerlang dalam STPM yang diumumkan pada Selasa.

Malah katanya, solat tahajud menjadi amalan dan dilaksanakan pada setiap hari, sebelum memulakan ulang kaji.

"Sebulan sebelum peperiksaan, saya akan bangun jam 4 pagi dan sepanjang STPM saya tidak pernah tinggal solat tahajud.

"Sebelum masuk dewan peperiksaan, saya minta restu daripada ibu bapa, doa supaya dipermudahkan saya menjawab peperiksaan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian calon cemerlang STPM di SMK Astana di sini pada Selasa.

Anak ketiga daripada enam beradik itu mengakui terkejut dengan keputusan diperoleh kerana hanya menyasarkan purata PNGK 3.5 ke atas.

Artikel Berkaitan:

Ammar (kiri) dan Aienur Salmalisa (dua dari kiri) bersama lima lagi yang meraih PNGK 4.00 dalam keputusan STPM 2023 di SMK Astana pada Selasa.
Ammar (kiri) dan Aienur Salmalisa (dua dari kiri) bersama lima lagi yang meraih PNGK 4.00 dalam keputusan STPM 2023 di SMK Astana pada Selasa.

Aienur Salmalisa berharap keputusan cemerlang yang diraih itu membolehkan dia melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan.

"Selepas keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya hendak masuk ke IPG (Institut Pendidikan Guru) tetapi tidak dapat.

"Jadi, saya buat keputusan untuk mengambil peperiksaan STPM dengan harapan untuk menjadi seorang guru," ujarnya lagi.

Sementara itu, Ammar Yasir Azmi, 20, turut mengakui kepentingan menjaga hubungan dengan ALLAH, ibu bapa dan guru sekiranya mahu beroleh kejayaan dalam apa jua bidang.

Ammar (tengah) bersama ibu dan bapanya menerima kalungan bunga pada majlis penyampaian calon cemerlang STPM di SMK Astana pada Selasa.
Ammar (tengah) bersama ibu dan bapanya menerima kalungan bunga pada majlis penyampaian calon cemerlang STPM di SMK Astana pada Selasa.

"Paling penting jaga hubungan dengan ALLAH dan ibu bapa. Kita perlu hormat guru," ujarnya.

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu memberitahu, PNGK 4.00 yang diraih pada STPM 2023 bagi menebus semula keputusan kurang memberangsangkan pada SPM sebelum ini.

"Saya hendak sambung belajar dalam bidang undang-undang, kalau boleh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

"Jika masa SPM tidak boleh meneruskan cita-cita saya, STPM adalah salah satu alternatif untuk capai apa yang sana mahu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!