Azizulhasni imbas debut Olimpik 16 tahun lalu

Azizulhasni ketika membuat debut Olimpik di Beijing pada 2008. Foto FB Azizulhasni Awang.
Azizulhasni ketika membuat debut Olimpik di Beijing pada 2008. Foto FB Azizulhasni Awang.
A
A
A

BERBAKI empat hari menjelang tirai Sukan Olimpik 2024 di Paris, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang berkongsi momen indah kali pertama menyertai temasya itu 16 tahun lalu.

Pelumba dari Terengganu itu mengimbas kenangan tersebut ketika membuat debut dalam temasya terbesar dunia berkenaan di Beijing pada 2008.

Malah ketika itu pada usia 20 tahun, Azizulhasni berkongsi kenangan manis diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang dalam upacara perasmian pada tanggal 8 Ogos.

"Penampilan pertama ke temasya di Beijing sebagai pembawa bendera untuk kontinjen negara di Stadium Sarang Burung (Bird’s Nest).

"Berumur 20 tahun, tampil dengan penuh cita-cita yang tinggi untuk menjadi yang terbaik bukan hanya di Malaysia, bukan sahaja di rantau Asia, akan tetapi mahu menjadi yang terbaik di dunia," catat beliau menerusi Facebook pada Selasa.

Pelumba berusia 36 tahun itu mengimbas bahawa pada waktu tersebut beliau melihat penyertaannya di Sukan Olimpik sebagai permulaan kepada pengembaraanya dan masih kabur dengan masa depanya.

Azizulhasni memasang impian untuk menghadiahkan pingat emas Olimpik buat negara. Foto FB Azizulhasni Awang.
Azizulhasni memasang impian untuk menghadiahkan pingat emas Olimpik buat negara. Foto FB Azizulhasni Awang.

"Apa yang saya tahu, waktu itu adalah sebuah permulaan kepada perjalanan. Tidak pula saya tahu akan bagaimana pengakhirannya.

Artikel Berkaitan:

"Berbekalkan saiz badan biasa tetapi dengan semangat yang luar biasa, saya mulakan segalanya," katanya.

Bagi Olimpik kali ini, Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman menjadi sandaran untuk meraih pingat emas pertama negara.

Beliau sebelum ini sudah berjaya mengenggam gangsa dan perak pada temasya di Rio 2016 serta Tokyo 2020.

Acara berbasikal trek dijadual berlangsung di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines dari 5 hingga 11 Ogos.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!