Turun naik bukit hampir 40 minit demi muat naik nota
SELAYANG - Kegigihan salah seorang pelajar Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan, Perak turun naik bukit hampir 40 minit demi kerja kursus dan muat naik nota pelajaran akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya merangkul Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 Kategori Orang Asli.
Ananda Ishwary Solaiah Achary berkata, cabaran itu sudah menjadi kebiasaan baginya memandangkan kampung halamannya sukar mendapat talian sekali gus menyukarkannya untuk belajar, mencari rujukan maklumat dan meminta pandangan daripada guru.
"Dekat kampung saya di Perak, hendak dapat talian untuk panggilan telefon dan hantar mesej memang susah sebab kampung saya memang dekat tengah-tengah hutan.
"Hanya ada satu lokasi untuk dapatkan talian telefon, jadi saya kena daki bukit sedikit dalam beberapa kilometer. Saya amik masa lebih kurang 15 ke 20 minit.
"Jadi di sana saya akan buat kerja kursus, jika ada kerja rumah, biasanya saya akan muat naik semua nota di sana sebelum turun semula," katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan STPM dan Malaysian University English Test (MUET) Tahun 2023 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia Persiaran 1, Batu Caves pada Selasa.
Ananda Ishwary yang meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam STPM 2023 itu berkata, sering bertanya soalan kepada guru selain mengulangkaji pelajaran bersama rakan-rakan menjadi antara faktor pendorong kepada kejayaannya dalam STPM.
"Kalau belajar bersama kawan, biasa lambat juga habis dan kadang-kala saya mintak kawan tolong hantarkan saya balik rumah, sebab kita habis belajar dalam dalam jam 5 atau 7 petang.
"Semua belajar sendiri, saya tidak pergi tuisyen atau kelas tambahan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!