Kilang proses akrilik punca pencemaran bau di Sungai Kundang, Sungai Sembah

LUAS menjalankan pensampelan bau di lokasi pemantauan statik untuk memantau status semasa air sungai.
LUAS menjalankan pensampelan bau di lokasi pemantauan statik untuk memantau status semasa air sungai.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah kilang memproses bahan akrilik daripada pepejal kepada cecair untuk dikitar semula dikesan punca kepada pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah pada Isnin.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, semakan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mendapati terdapat aliran efluen daripada kebocoran tangki menyebabkan bahan tersebut dipercayai bahan terjadual, Poly Methacrylic Acid (PMAA) melimpah dan mengalir ke longkang serta parit sehingga ke Sungai Kuang.

Beliau memberitahu, kilang itu diarahkan menghentikan pelepasan dan melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta-merta berikutan kecuaian premis yang menyebabkan risiko kepada loji rawatan air (LRA) terhampir iaitu LRA Rantau Panjang pada jarak 29.61 kilometer (km) dan LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1,2 dan 3 pada jarak 34.02 km.

"LUAS membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap pihak terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jamaliah memberitahu, JAS dan MPS juga akan mengambil tindakan berkaitan di bawah bidang kuasa masing-masing terhadap premis tersebut.

Tegas beliau, kerajaan negeri Selangor dan LUAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencemarkan sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan Enakmen LUAS 1999.

Beliau memberitahu, LUAS telah mengaktifkan kod kuning mengikut manual kecemasan pencemaran sumber air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan segera.

"Kira-kira jam 3.30 petang semalam (Isnin) terdapat bau seakan asid di udara dan aliran berbuih di Sungai Kuang dikesan di Jalan Kampung Orang Asli, Kuang disyaki daripada sebuah premis kilang berdekatan.

Artikel Berkaitan:

"LUAS segera melaksanakan langkah pencegahan awal dengan meletakkan tiga beg activated carbon (AC) di Sungai Kuang bagi tujuan nyah bau.

"LUAS juga melakukan pemantauan statik di Sungai Kundang dan meningkatkan kekerapan pemantauan statik di Sungai Sembah dan Sungai Selangor kepada setiap 30 minit," katanya.

Bagaimanapun, Jamaliah memberitahu, tumpahan itu dikesan memasuki sungai berdekatan yang mana bau seakan asid tersebut dengan bacaan tiga ton dikesan oleh pasukan statik LUAS di Sungai Kundang pada jam 1.30 pagi dan di Sungai Sembah pada jam 4.30 pagi Selasa.

"LUAS segera menyelaraskan pembukaan pintu baraj sungai serta mengaktifkan pengepaman air mentah daripada kolam alternatif KL Larut sebanyak 432 JLH (juta liter sehari) dan HORAS 600 sebanyak 300 JLH bagi meningkatkan kadar pencairan di dalam Sungai Selangor dan mempercepatkan aliran tercemar tersebut melepasi kawasan muka sauk loji.

"Pasukan LUAS juga telah meletakkan dan menambah keseluruhan 59 beg AC iaitu kira-kira 1.47 tan di Sungai Kuang, Sungai Kundang dan Sungai Sembah bagi nyah bau.

"LUAS sedang giat melaksanakan langkah-langkah mitigasi di sungai-sungai terlibat dengan meningkatkan peletakan AC bagi nyah bau," katanya.

Pada masa sama, Jamaliah memberitahu, tindakan meningkatkan kadar pencairan di dalam sungai dan mempercepatkan aliran tercemar tersebut melepasi kawasan muka sauk loji juga giat dilakukan melalui pengepaman air mentah daripada kolam alternatif KL Larut dan HORAS 600.

"LUAS juga telah menyelaraskan pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 1,200 JLH dan Empangan Sungai Tinggi sebanyak 1,000 JLH bagi meningkatkan lagi kadar pencairan dan proses mempercepatkan aliran tercemar ke hilir muka sauk loji," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan empat Loji LRA Selangor dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah pada Isnin.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, empat LRA itu ialah Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!