Melaka terbuka pihak mahu lapor SPRM isu papan iklan

Rais
Rais
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka bersikap terbuka dan bersedia sekiranya ada pihak yang mahu membawa isu papan iklan tumbang di negeri ini untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, bukan satu yang memeranjatkan sekiranya isu itu dipolemik oleh pihak pembangkang.

Menurutnya, ketika ini lebih penting pihaknya termasuk agensi berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) mengutamakan keselamatan pengguna dan akan terus menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya.

"Kalau mereka rasa ada sesuatu kesalahan yang mereka rasa nak laporkan itu kita serah kepada mereka yang terlibat kerana itu adalah hak masing-masing.

"Kita semua sedia maklum pihak yang buat laporan SPRM, itu hak mereka tapi mereka juga perlu ingat mereka juga pernah berada di dalam kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga mangsa kemalangan di Kampung Bukit Gedong, Jalan Tanjung Kling, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri yang juga Ketua Pembangkang, Dr Mohd Yadzil Yaakub dilaporkan akan membuat laporan terhadap SPRM berhubung isu integriti papan iklan berkenaan di Pejabat SPRM negeri di Alai, pada jam 11 pagi Rabu.

Artikel Berkaitan:

Malah media sebelum ini juga melaporkan, dua papan iklan yang tumbang di Bachang dan Banda Hilir di sini dalam kejadian angin kuat awal pagi 14 Julai lalu didapati tidak mempunyai lesen dikeluarkan PBT.

Perkara itu didedahkan Rais sambil meminta kesemua empat PBT memantau dan memeriksa semua papan iklan di negeri itu bagi memastikan ia berlesen dan pemasangannya mengikut prosedur yang ditetapkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!