Sasar warga emas tipu bantuan e-Kasih

Kebanyakan mangsa ditemui di kawasan berhampiran hospital, bank, medan selera, pasar raya, pasar awam dan stesen bas - Gambar hiasan 123RF
Kebanyakan mangsa ditemui di kawasan berhampiran hospital, bank, medan selera, pasar raya, pasar awam dan stesen bas - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

IPOH - Menyamar sebagai pegawai bantuan, meminta wang daripada mangsa kononnya bagi proses permohonan sebelum melarikan diri.

Itu antara modus operandi dilakukan seorang lelaki yang terlibat dalam kes penipuan menggunakan nama bantuan e-Kasih yang dikesan di negeri ini sejak Januari hingga Jun lalu melibatkan kerugian lebih RM16,000.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, lelaki warga tempatan berusia 49 tahun itu juga mendampingi warga emas berusia antara 50 hingga 80 tahun sebagai sasaran untuk diperdaya.

Menurutnya, kebanyakan mangsa ditemui di kawasan berhampiran hospital, bank, medan selera, pasar raya, pasar awam dan stesen bas.

"Dalam setiap pertemuan itu, suspek meminta mangsa memberikan wang tunai antara RM300 ke RM1,000 bagi proses permohonan e-Kasih dan pembukaan akaun bank.

"Setelah memperolehi wang, suspek akan berpura-pura keluar daripada bank bagi membuat salinan kad pengenalan pemohon.

"Mangsa yang diminta menunggu di bank hanya menyedari ditipu apabila suspek tidak datang kembali. Selain wang tunai, suspek turut melarikan kad pengenalan mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, hasil maklumat dan risikan dijalankan, lelaki terbabit berjaya ditahan semula pada 2 Julai lalu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kedah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, turut dirampas sebuah telefon bimbit dan pakaian yang digunakan suspek semasa memperdaya mangsa-mangsa.

"Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau semuanya berkaitan kes penipuan," katanya.

Azizi berkata, dengan penahanan suspek itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Perak telah membuka 38 kertas siasatan melibatkan kerugian RM16,250 dan berjaya memperoleh 36 pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 417 kanun sama.

Jelasnya, pendakwaan ke atas suspek akan dimulakan esok (Rabu) sehingga 6 Ogos depan melibatkan Mahkamah Majistret Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Manjung dan Hilir Perak.

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran bantuan kewangan terutama daripada individu tidak dikenali dengan melakukan semakan dahulu dengan agensi berkaitan bagi tujuan pengesahan.

"Pembayaran tunai kepada mana-mana individu di luar kaunter pejabat pembayaran juga mempunyai risiko penipuan yang tinggi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!