Polis buru penunggang motosikal pecahkan cermin kereta

Pemilik kereta memaklumkan tidak mengenali suspek yang mengekorinya selepas dilihat melalui 'dashcam' yang dipasang di bahagian belakang kenderaannya.
Pemilik kereta memaklumkan tidak mengenali suspek yang mengekorinya selepas dilihat melalui 'dashcam' yang dipasang di bahagian belakang kenderaannya.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang disyaki memecahkan cermin belakang sebuah kereta Perodua Myvi milik seorang jurubahasa dengan membaling batu pada 14 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian jam 10.40 pagi, penunggang motosikal itu mengekori sebuah kereta yang dipandu seorang wanita di persimpangan Jalan Jengka SS17.

“Semasa pengadu membelok ke kanan di persimpangan jalan itu, dia terdengar bunyi hentakan kuat di bahagian belakang kenderaannya.

“Pengadu kemudian menghentikan kenderaan di tepi jalan, sebelum pemeriksaan mendapati cermin belakang keretanya telah pecah dan dia mengalami kerugian RM400,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Wan Azlan berkata, ketika kejadian wanita berusia 42 tahun itu berada di dalam kenderaan bersama suaminya.

“Pasangan itu mendakwa tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pihak dan wanita itu memaklumkan tidak mengenali suspek yang mengekori selepas dilihat melalui 'dashcam' yang dipasang di bahagian belakang kenderaannya," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Ahmad Faizal Shaikh Abd Rahim di talian 019–7506606 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!