Terengganu teruskan subsidi air walaupun royalti disekat

Ahmad Samsuri (dua dari kiri) ketika merasmikan Majlis Sambutan 25 Tahun Jubli Perak SATU pada Selasa.
Ahmad Samsuri (dua dari kiri) ketika merasmikan Majlis Sambutan 25 Tahun Jubli Perak SATU pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu tetap meneruskan pemberian subsidi 20 meter padu kepada 11,832 akaun pengguna golongan B40 di negeri ini meskipun royalti petroleum disekat ke negeri itu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya masih meneruskan pemberian subsidi tersebut susulan ia merupakan tanggungjawab sosial terhadap rakyat yang perlu dilaksanakan.

Menurutnya, pemberian subsidi tersebut adalah antara inisiatif kerajaan negeri dalam mengurangkan beban kewangan rakyat berpendapatan rendah di negeri itu sejak beberapa tahun lalu.

"Kita masih lagi mengikut perancangan akan laksanakan kepada golongan B40 berkenaan.

"Walaupun berlaku sekatan royalti namun subsidi masih diberikan kepada masjid dan juga golongan B40. Kita tetap teruskan sebab ini tanggungjawab sosial daripada kerajaan negeri yang perlu dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan 25 Tahun Jubli Perak Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dekat sini pada Selasa.

Sebelum ini, unit portal rasmi Kerajaan Terengganu melaporkan pelarasan tarif air baharu tidak akan memberi kesan kepada pemberian subsidi 20 meter padu kepada 11,832 akaun pengguna golongan B40 di Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat SATU, Ts Abdul Karim Endut, berkata, pemberian subsidi itu melibatkan kos tanggungan sebanyak RM1,176,180 setahun.

Artikel Berkaitan:

Menurut Abdul Karim, pemberian itu juga meliputi masjid dan surau berdaftar melibatkan 1,883 akaun dengan kos tanggungan bernilai RM1.4 juta setahun menjadikan RM2.5 juta setahun ditanggung kerajaan negeri bagi tujuan tersebut.

Terdahulu, Ahmad Samsuri ketika berucap berkata, SATU telah merancang untuk menjadi sebuah syarikat perkhidmatan bekalan air terkemuka di rantau ini dan peringkat antarabangsa.

"Sebagaimana yang disebut oleh Ketua Pegawai Eksekutif SATU tadi bahawa antara perancangan yang sedang dibuat ialah untuk menubuhkan fasiliti pendidikan iaitu Akademi SATU.

"Ia adalah sebagai usaha membina modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi berteraskan inovasi IR 4.0 sekali gus bertepatan dengan landskap pendidikan semasa," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!