Aset, operasi, perjawatan agensi sempadan perlu diberi perhatian - EAIC
TUMPAT - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) melihat operasi, aset dan perjawatan antara yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan berkait pengurusan agensi di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Pengerusinya, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, langkah itu mampu memperkasakan lagi penugasan seluruh agensi kerajaan di pintu masuk utama negara di kawasan sempadan.
"Ini adalah hasil maklumat turun padang yang diperoleh selain kerjasama antara agensi-agensi kerajaan di sempadan," katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor di sini pada Selasa.
Terdahulu, beliau mengadakan mesyuarat bersama agensi yang bertugas di sempadan di negeri ini.
Menurut beliau, pihaknya akan membawa maklumat yang diperoleh itu untuk dibawa ke pengetahuan kerajaan bagi tindakan lanjut.
Ujarnya, aset menjadi masalah utama yang perlu diberikan perhatian kerana kebanyakan aset itu sudah lama selain tidak mencukupi.
Tambah beliau, penambahan aset memerlukan perbelanjaan yang besar dan itu mungkin boleh diberikan keutamaan berpandukan kepada keperluan semasa.
"Saya turut berharap prosedur kerja dapat diberi penambahbaikan dalam usaha membendung perlakuan rasuah.
"Kita tidak mahu berlakunya kebocoran (rasuah) di peringkat lapangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!