Hamas berdamai dengan Fatah

Menteri Luar China, Wang Yi (tengah) dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Palestin, Mahmoud al-Aloul (kiri) dan anggota kanan Hamas, Mussa Abu Marzuk semasa tiba di Beijing. - AFP
Menteri Luar China, Wang Yi (tengah) dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Palestin, Mahmoud al-Aloul (kiri) dan anggota kanan Hamas, Mussa Abu Marzuk semasa tiba di Beijing. - AFP
A
A
A

BEIJING - Hamas mengumumkan pada Selasa bahawa pihaknya telah menandatangani perjanjian di Beijing, China dengan pertubuhan Palestin yang lain termasuk Fatah untuk bekerjasama demi 'perpaduan nasional'.

Menteri Luar China, Wang Yi yang menjadi tuan rumah kepada pegawai kanan Hamas, Musa Abu Marzuk, utusan Fatah, Mahmud al-Aloul dan utusan daripada 12 kumpulan Palestin lain, berkata, mereka telah bersetuju untuk menubuhkan 'kerajaan pendamaian nasional sementara' untuk mentadbir Gaza selepas perang.

"Hari ini kami menandatangani satu perjanjian demi perpaduan nasional. Kami komited untuk perpaduan nasional dan merealisasikannya," kata Abu Marzuk selepas bertemu dengan Wang dan utusan lain.

Pengumuman muncul selepas sembilan bulan perang yang dicetuskan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober lalu yang kini jumlah korban penduduk Palestin akibat kekejaman Israel telah melonjak kepada 39,000 dengan kebanyakan wanita dan kanak-kanak.

Pertempuran tanpa henti telah menjerumuskan Gaza dalam krisis kemanusiaan paling teruk.

China telah berusaha untuk memainkan peranan sebagai orang tengah dalam konflik itu, yang kini menjadi lebih kompleks disebabkan oleh persaingan sengit antara Hamas, yang memerintah Genting Gaza manakala Fatah mentadbir Tebing Barat.

Israel telah berikrar untuk terus berjuang sehingga mereka memusnahkan Hamas, manakala kuasa dunia termasuk penyokong utama Israel, Amerika Syarikat (AS) telah berebut-rebut untuk membayangkan senario untuk tadbir urus Gaza sebaik sahaja perang berakhir.

AS tidak akan menyetujui mengenai sebarang rancangan pasca perang yang membabitkan Hamas, yang diisytihar sebagai organisasi pengganas oleh Washington.

Artikel Berkaitan:

Walaupun tidak jelas sama ada perjanjian yang diumumkan di Beijing boleh bertahan, tetapi ia menunjukkan bahawa satu-satunya kuasa dunia yang boleh membina hubungan rapat antara pesaing Palestin ialah China.

Ketika mesyuarat Selasa berakhir di Beijing, Wang berkata, kumpulan itu telah komited untuk melakukan 'perdamaian'. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!