PRK Nenggiri: Armada Bersatu mahu menangi hati pengundi muda
KOTA BHARU - Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyahut seruan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mahu mereka menyantuni pengundi muda dalam usaha mengekalkan momentum kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 17 Ogos ini.
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal berkata, hal ini kerana demografi pengundi kawasan itu didominasi oleh pengundi muda 40 tahun ke bawah.
"Sebagaimana yang diketahui, lebih 60 peratus daripada keseluruhan pengundi DUN Neggiri adalah orang muda.
"Nak menang Nenggiri kena menangi hati dan jiwa pengundi muda," katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Selasa.
Sebelum itu Wan Ahmad Fayhsal menghadiri mesyuarat kepimpinan Armada Bersatu Nasional dan Kelantan bagi persiapan PRK Nenggiri.
Menurut beliau, Setiausaha Agung menegaskan tiada keutamaan lain ketika ini kecuali gerak kerja Nenggiri.
"Tolak ketepi dulu pemilihan parti dan pusatkan kudrat dan masa kita untuk memenangi PRK Nenggiri.
"Ini masa untuk kita pulihkan maruah Bersatu yang telah dinodai pengkhianat-pengkhianat yang melompat menyokong PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kini dihalalkan oleh kerajaan Madani.
"Insya-ALLAH saya dan kepimpinan Bersatu Pusat yakin Armada Kelantan mampu memberi sumbangan signifikan untuk mencapai kemenangan di Nenggiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!