KPDN 'tegur' lima restoran popular di Bukit Bintang

Mohd Sabri (dua dari kanan) bersama pegawainya memeriksa premis restoran di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Selasa.
Mohd Sabri (dua dari kanan) bersama pegawainya memeriksa premis restoran di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Restoran makanan Arab popular di Bukit Bintang di sini, antara premis yang diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, pada Selasa.

Ops Menu itu dijalankan membabitkan lima premis restoran makanan Arab dan nasi kandar bermula jam 5 petang.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, fokus operasi ini melibatkan pematuhan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta pematuhan perundangan halal mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

"Lima restoran telah diperiksa hari ini dan tiada kesalahan dikesan.

"Pemilik mematuhi peraturan, namun ada teguran diberi seperti perlunya tanda harga dengan lebih jelas. Contohnya harga itu disertakan sekali dengan kuantiti makanan yang ditawarkan," katanya kepada pemberita selepas operasi di sini pada Selasa.

Mohd Sabri bersama pegawainya memeriksa premis restoran di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Selasa.
Mohd Sabri bersama pegawainya memeriksa premis restoran di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau berkata, operasi ini penting bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna terutama di kawasan tumpuan pelancong.

Kata Mohd Sabri, Ops Menu ini dilaksanakan sepanjang tahun.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan operasi sebelum ini, kita ada mengambil tindakan mahkamah serta denda ke atas premis.

"Untuk rekod, tahun ini sepanjang enam bulan sejak Januari, sebanyak 50 kes penandaan harga dengan jumlah nilai kompaun RM15,000 telah diambil ke atas pelbagai premis termasuk kedai makan dan runcit," ujarnya.

Dalam pada itu, tambahnya, premis restoran atau kedai makan diingatkan untuk memohon Permit Barang Kawalan Berjadual jika menyimpan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum melebihi kuantiti dibenarkan.

"KPDN Kuala Lumpur menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat salah laku restoran atau premis menjual makanan supaya tampil membuat aduan untuk tindakan segera," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!