Dua lemas dalam kejadian berasingan di Johor Bahru
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam sungai semasa memancing di Kampung Sri Purnama, Tebrau di sini, pada Selasa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penguasa Bomba Kanan II, Noor Azhan Ahmad berkata, lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.43 petang.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemukan mangsa, Dol Khadir Ibrahim, 68, pada jam 3.51 petang di tebing sungai tidak jauh berhampiran lokasi mangsa jatuh.
"Pihak bomba menyerahkan mayat kepada pihak polis. Operasi SAR tamat pada jam 4.15 petang," katanya dalam satu kenyataan pada malam Selasa.
Sementara itu, di TANGKAK, seorang pemuda ditemui lemas selepas terjatuh dalam kolam di kebun durian di Kampung Teratai, Sengkang, pada Selasa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farizan Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut jam 11.42 pagi.
"Seramai lapan anggota dengan satu jentera FRT dan satu pacuan empat roda Hilux digerakkan ke tempat kejadian.
"Pihak bomba membuat pencarian dengan kaedah 'surface searching' menggunakan 'grappling iron'. Mangsa, Tay Liu Xin yang berusia 29 tahun ditemui pada jam 12.57 tengah hari," katanya dalam kenyataan berasingan.
Jelasnya, mangsa didapati sudah meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 2.12 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!