Ahli Dewan Negara wajib bantah penjualan saham MAHB kepada BlackRock

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli Dewan Negara perlu membantah urus niaga penswastaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) milik penuh syarikat pelaburan BlackRock kerana kesan buruk dan mudarat yang jauh lebih besar serta merugikan negara.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) juga harus diberi ruang untuk menyiasat kesesuaian penjualan saham tersebut sebelum kerajaan membubarkan suruhanjaya itu.

"Isnin depan (29 Julai) ahli-ahli Dewan Negara akan berbahas Rang Undang-Undang pembubaran MAVCOM. PN bimbang pembubaran seterusnya penggabungannya dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan memberi pemusatan kuasa secara unilateral kepada Menteri Pengangkutan seperti termaktub dalam RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2004.

"Hal ini akan memberi kesan kepada proses tadbir urus dan tata kelola yang baik dalam mengawal selia urus niaga penswastaan MAHB kepada GIP milik BlackRock," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan usaha Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memulakan prosiding ke atas urus niaga penswastaan MAHB.

Menurutnya, jawatankuasa itu akan mengambil kira isi kandungan dan fakta yang terkandung di dalam surat yang didedahkannya dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Seperti dijelaskan oleh mantan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, saya sepatutnya dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen terlebih dahulu bagi menentukan kesahihan dan kebenaran fakta yang terkandung dalam surat layang yang diberikan oleh pemberi maklumat dalaman KWSP (Kumpulan Wang Saham Pekerja).

"Saya yakin surat itu bukan satu fitnah jahat sebaliknya penyataan fakta akan kebimbangan para pegawai KWSP yang enggan bersubahat dengan urus niaga penswastaan MAHB melalui penjualan saham kepada GIP milik BlackRock yang dikenal pasti antara penyumbang utama pembunuhan beramai-ramai di Gaza, Palestin," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PN menyifatkan penggantungannya dari menghadiri sidang Dewan Rakyat bertentangan dengan prinsip Keadilan Asasi.

"Saya telah digantung enam bulan daripada terlibat dalam Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tanpa diberikan sebarang ruang untuk membela diri.

"Penafian hak untuk didengari ini jelas bertentangan prinsip Keadilan Asasi dan hak sebagai ahli Dewan Rakyat yang mewakili rakyat Machang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!