Otak pintar tak guna jika tak tahu beza baik, buruk

Bakal pelajar cemerlang STPM yang bakal melanjutkan pengajian di universiti diharap menjadikan kes-kes ini sebagai panduan semasa bergelar mahasiswa dan mahasiswi.
Bakal pelajar cemerlang STPM yang bakal melanjutkan pengajian di universiti diharap menjadikan kes-kes ini sebagai panduan semasa bergelar mahasiswa dan mahasiswi.
A
A
A

KEPUTUSAN Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 yang diumumkan semalam menyaksikan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional meningkat sebanyak 0.02 mata iaitu 2.84 berbanding 2.82 tahun lalu.

Keputusan tersebut sekali gus menjadikannya sebagai rekod PNGK nasional tertinggi dalam tempoh 41 tahun sejak peperiksaan itu dilaksanakan.

Sebanyak 1,116 calon atau 2.70 peratus calon pula mendapat PNGK 4.00.

Tahniah kepada kesemua calon ini yang boleh dikategorikan sebagai pelajar cemerlang.

Pelajar cemerlang ini tentunya akan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Ibu bapa mana yang tak bangga sekiranya anak mereka diterima masuk ke universiti.

Namun tidak dapat dinafikan ada segelintir pelajar yang hanyut ketika berada di universiti akibat terlebih bersosial akibat kejutan budaya.

Kalau dulu tinggal dengan keluarga tidak begitu bebas, sekarang tiada siapa yang boleh tegur apa yang dibuat.

Artikel Berkaitan:

Pukul berapa balik, jumpa dengan siapa, berkawan dengan siapa dan sebagainya tidak ada siapa yang tegur.

Kebebasan yang diberi, disalah guna sampai merosakkan hidup sendiri dan akhirnya gagal dalam peperiksaan.

Ada juga yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah sama ada menjadi penagih atau pengedar.

Pada November tahun lalu, empat penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) ditahan selepas polis menemui ganja dalam bilik penginapan di sebuah kolej kediaman di Pagoh, Johor.

Ada antara suspek yang ditahan sudah berada di tahun akhir pengajian. Sayangnya dibuang universiti di saat-saat akhir.

Sudah pasti penahanan ini menyebabkan hati ibu bapa suspek terbabit luluh. Itu belum lagi perasaan malu yang perlu ditanggung mereka.

Semalam, enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan kerana didapati membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Bakal pelajar cemerlang STPM yang bakal melanjutkan pengajian di universiti diharap menjadikan kes-kes di atas sebagai panduan semasa bergelar mahasiswa dan mahasiswi.

Gunakan otak pintar kurniaan ALLAH untuk membezakan perkara yang baik dan buruk serta apa yang boleh dan tak boleh dilakukan.

Ingatlah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!