Dirasuk ketika siaran langsung, Tomey nafi sekadar 'content'
SHAH ALAM - "Bukan 'content' (kandungan), memang saya kena rasuk. Sakitnya ALLAH sahaja yang tahu."
Demikian tegas Mariah Yasin, 25, apabila sesi siaran langsung (live) yang disiarkan baru-baru ini meraih perhatian pengguna aplikasi TikTok.
Dalam sesi tersebut, wanita yang lebih dikenali dengan nama Tomey itu dilihat meraung, menangis dan menjerit sambil menekup kedua telinganya secara tiba-tiba sebelum menggelupur di atas lantai.
"Sejak terkena sihir pada Mac lalu, saya sering jatuh sakit secara tiba-tiba. 'Benda' itu akan datang pada bila-bila masa dan tidak kira waktu.
"Banyak tempat saya sudah pergi untuk mendapatkan rawatan (termasuk) hospital, perubatan Islam dan perawat cara kampung, masih tidak sembuh.
"Banyak komen (di media sosial) kata saya sengaja buat sebab 'content' dan main-main. Saya kongsi pengalaman itu supaya dapat beri iktibar kepada semua orang," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Video kejadian misteri itu menerima lebih satu juta tontonan dalam tempoh kurang 24 jam.
Dalam video tersebut, Tomey kelihatan 'diganggu' ketika siaran langsung pada waktu tengah hari.
"Sumpah kuat gila (dirasuk). ALLAH sahaja yang tahu, sakit tak boleh nak cerita. Tak minta banyak, mohon doa daripada anda semua," katanya.
Mengulas lanjut wanita dari Kangar, Perlis itu turut menasihatkan pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati dengan kenalan dan keadaan sekeliling.
"Saya tidak berlakon untuk 'content', kejadian yang berlaku memang benar. Saya juga penat bila diganggu ketika 'live'.
"Jadi saya minta semua orang berhati-hati dengan keadaan sekeliling. Kadang-kadang tidak tahu siapa yang memusuhi kita dalam diam," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!